Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa kerajaan Malaysia menghentikan rancangan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar yang dijadualkan pada 29 September ini, susulan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Gesaan itu dibuat ketika Malaysia dijadual melaksanakan fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela membabitkan 1,476 warga Myanmar yang merupakan sebahagian daripada 5,000 individu yang akan dihantar pulang secara berperingkat.
Dalam kenyataannya, MSF berkata penghantaran pulang berkenaan perlu dihentikan kerana Myanmar masih berdepan konflik bersenjata, keganasan dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Pertubuhan itu turut menggesa kerajaan mendedahkan maklumat berkaitan kewarganegaraan, umur serta risiko perlindungan yang dihadapi setiap individu yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.
Menurut MSF, pelarian dan pemohon suaka yang berdepan penganiayaan atau ancaman serius tidak seharusnya dihantar kembali ke negara yang boleh membahayakan keselamatan mereka.
“Malaysia juga perlu memastikan keperluan perlindungan setiap individu yang tertakluk kepada proses penghantaran pulang dinilai secara menyeluruh berdasarkan piawaian antarabangsa,” katanya.
MSF berkata, berdasarkan data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), Myanmar pada 2025 disenaraikan antara negara yang berdepan tahap konflik dan risiko tinggi terhadap orang awam.
Katanya, lebih separuh penduduk Myanmar terdedah kepada keganasan, selain berdepan krisis kemanusiaan yang berpunca daripada konflik bersenjata, bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi.
MSF, yang telah beroperasi di Myanmar sejak 1992, kini masih menyediakan perkhidmatan kesihatan di Rakhine, Kachin, Shan Utara dan Yangon, selain melaksanakan program berkaitan bekalan air, sanitasi serta kebersihan.
Mengulas perkembangan itu, MSF berkata kerajaan Malaysia sebelum ini pada 5 Ogos menyatakan proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya individu terbabit berisiko dianiaya atau nyawa mereka terancam.
“Namun, pengumuman terbaharu Kerajaan Malaysia memberikan gambaran bahawa jaminan itu mungkin tidak lagi terpakai.
“Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia,” katanya.
MSF berkata pasukannya menyaksikan sendiri kesan konflik dan ketidakamanan terhadap akses kepada perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar.
Menurutnya, pelarian termasuk etnik Rohingya dan kumpulan minoriti lain telah melalui penindasan serta keganasan selama berdekad-dekad.
“Justeru, MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri.
“Kerajaan juga perlu memastikan sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

