Seperti kebanyakan benda, kereta juga tidak asing dengan kesempurnaan. Setiap kereta pastinya akan mengalami masalah tidak kiralah kereta mahal mahu pun murah apabila sudah sampai masanya untuk rosak.
Pun begitu, anda bernasib baik kerana sesetengah kereta itu, sebelum ianya hendak rosak, ia akan memberikan simbol isyarat pada skrin di dashboard anda.
Terdapat pelbagai simbol yang berada di dashboard anda bagi memberikan isyarat kepada supaya memeriksa kenderaan anda. Berikut adalah antara simbol isyarat yang perlu anda ambil tahu bagi mengetahui bahawa terdapat masalah pada kenderaan anda.
Lampu kawalan kestabilan

Kebanyakan kereta yang mempunyai fungsi ini membolehkan anda untuk membuat pilihan sama ada ingin menghidupkan atau mematikannya.
Sekiranya anda melihat sudut pandangan belakang sebuah kereta sedan diikuti dengan beberapa garis yang menunjukkan jalan licin di belakangnya, maka itu bermakna sistem kawalan kestabilan anda mati atau tidak dihidupkan sepenuhnya.
Menurut motortrend, ianya bermakna salah satu daripada dua perkara telah berlaku di sini: Sama ada anda mematikan fungsi tersebut kerana anda ingin melakukan pemanduan yang sporty (hidupkan semula, anda bukan Lewis Hamilton) atau ciri tersebut telah rosak sama sekali.
Lampu amaran tahap penyejuk

Sekiranya anda melihat simbol termometer ini muncul pada dashboard kenderaan anda, ianya bermakna kenderaan anda mungkin terlalu panas.
Menurut motortrend, terdapat beberapa perkara yang mungkin berlaku, tetapi perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan menghentikan kereta dan menunggu seketika sehingga enjin anda dapat disejukkan dengan sendirinya.
Seterusnya, ambil kain, buka penutup, dan gunakan kain untuk membuka penutup takungan penyejuk dan periksa tahap kesejukannya. Sekiranya enjin kenderaan anda sangat panas, tangki penyejuk, atau tangki penyejuk ‘berasap’, anda mungkin akan terpaksa menghubungi perkhidmatan penunda.
Lampu amaran sistem brek

Sekiranya anda melihat tanda seru dengan lingkaran di sekelilingnya pada dashboard anda, ianya bermaksud ada sesuatu yang tidak kena pada brek anda.
Menurut motortrend, ianya mungkin ada kaitan dengan komponen brek atau cecair hidraulik kenderaan anda perlu ditambah. Hentikan kereta dan hubungi trak penunda secepat mungkin.
Memandu tanpa sistem brek yang berfungsi sepenuhnya adalah sangat berbahaya dan seharusnya diperbaiki secepat mungkin.
Lampu bateri

Sekiranya anda melihat terdapat lampu bateri merah ini pada dashboard anda, ianya bermakna anda sedang menghidupkan kereta anda dengan menggunakan bateri sahaja.
Apabila enjin tidak dihidupkan, alternator tidak akan mengecas secara aktif. Ianya bermakna anda akan menghabiskan bateri kenderaan anda dan anda mungkin terpaksa jumpstart kenderaan anda untuk menghidupkannya kembali.
Menurut motortrend, sekiranya lampu ini menyala semasa enjin kenderaan anda dihidupkan, ianya adalah tanda bahawa sistem pengecasan bateri anda tidak berfungsi.
Lampu amaran minyak enjin

Sekiranya anda terlihat bentuk yang kelihatan seakan perahu muncul di dashboard anda, menurut motortrend, ianya bermakna kenderaan anda mungkin ada masalah tekanan pada bahagian minyak enjin anda.
Tanpa tekanan minyak yang mencukupi, enjin tidak dapat melincirkan dirinya dengan betul.
Ianya boleh menyebabkan masalah mekanikal yang besar – enjin boleh rosak dan ianya boleh membuatkan anda terkandas. Justeru daripada itu, lebih baik jika anda segera memeriksanya atau hantar ke bengkel servis kenderaan.
Sumber: Motortrend