Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Musim durian memang ada tarikannya yang tersendiri. Selain menjadi waktu yang dinanti-nantikan oleh peminat raja segala buah, inilah juga masanya pelbagai jenis juadah berasaskan durian mula mencuri perhatian.
Daripada gerai tepi jalan hinggalah ke kafe dan restoran, masing-masing tampil dengan menu istimewa untuk memanfaatkan keenakan buah bermusim ini.
Isi durian yang lemak dan berkrim menjadikannya bahan yang cukup versatil dalam dunia masakan. Ada yang menggemarinya dalam hidangan tradisional seperti pulut durian dan serawa durian, manakala ada juga yang lebih teruja mencuba aiskrim, kek, mochi, crepe atau pencuci mulut moden yang menggunakan durian sebagai bahan utama.
Malah, setiap tahun pasti ada sahaja resipi baharu yang tular dan membuatkan ramai tidak sabar untuk mencubanya sendiri.
Hari ini, SK akan kongsikan pula satu resipi yang berasaskan durian iaitu seri muka durian. Untuk makluman, resipi ini dikongsikan oleh salah seorang pengguna Facebook, Meezan Berry.
Lapisan durian
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
1/2 cawan gula pasir
sedikit garam
2 cawan santan
1/2 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
1/4 cawan isi durian
Pewarna kuning
Lapisan pulut
1 1/2 cawan beras pulut
1 1/4 cawan santan
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula pasir
Sehelai daun pandan
Mula-mula, anda campurkan dahulu satu kotak santan ke dalam jag dan tambahkan dengan 2 1/4 cawan air. Jadi, jumlah keseluruhan santan anda ialah 3 1/4 cawan santan.

Untuk lapisan durian pula, campurkan kesemua bahan-bahan ke dalam pengisar dan kisar sehingga halus. Selepas itu, tuangkan ke dalam kuali dan ketepikan dahulu. Tujuannya adalah untuk biarkan adunan tersebut direhatkan dan tiada gelembung udara di dalam adunan tersebut.

Sementara adunan tersebut direhatkan, anda boleh mula siapkan lapisan pulut tersebut. Sediakan loyang bersaiz tujuh inci.
Kemudian, sediakan juga beras pulut yang telah dibasuh bersih dan sudah direndam dalam tempoh 3 hingga 4 jam. Toskan dahulu selepas direndam.
Seterusnya, satukan semua bahan di atas, kemudian kukuskan beras pulut selama 30 minit atau sehingga betul-betul masak.
Setelah pulut masak, keluarkan dahulu nasi pulut dari loyang, kemudian lapikkan loyang dengan plastik PP(polypropylene) dan sapukan sedikit minyak ke atas plastik.
Langkah seterusnya, masukkan lagi nasi pulut kedalam loyang, tekan sehingga mampat dan kemas dan masukkan lagi ke dalam pengukus, lalu tutupkan penutup pengukus.

Sementara itu, panaskan adunan durian tadi sehingga ia pekat. Awas, jangan biarkan ia terlalu pekat atau berketul bagi mengelakkan permukaan kuih berbonggol atau tidak rata.
Selepas itu, tuangkan adunan tersebut ke atas pulut dan kukus selama 15-20 minit dengan api kecil. Sekiranya anda guna pengukus yang besar, kukus dengan api sederhana.

Biarkan sehingga ia masak. Selepas ia masak, biarkan sehingga ia betul-betul sejuk sebelum potong dan hidangkan. Selamat mencuba!