Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MyDigital ID Bukan MyKad - Ini Fungsi Sebenarnya
Seiring dunia yang semakin bergantung kepada transaksi dalam talian, isu keselamatan identiti digital bukan lagi perkara sampingan. Penipuan dalam talian, kecurian identiti dan penyamaran akaun kini menjadi ancaman harian yang boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau latar belakang.
Justeru, pengenalan MyDigital ID dilihat sebagai satu langkah strategik negara dalam memperkukuh keselamatan digital rakyat Malaysia. Namun sejak ia diperkenalkan secara meluas kepada umum pada Mac tahun lalu, MyDigital ID turut mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang menyambut baik pendekatan moden ini. Tidak kurang juga yang mempersoalkan keperluannya. Sebahagian rakyat masih keliru malah ada yang berasa bimbang akan keselamatan data peribadi mereka dalam dunia digital yang serba terbuka ini.
Persoalan lazim sering timbul “Bukankah kita sudah ada MyKad? Mengapa perlu satu lagi identiti, kali ini di alam maya?” Kebimbangan ini sebenarnya berasas. Lebih-lebih lagi apabila jenayah siber di Malaysia telah mencatatkan kerugian hampir RM2 bilion setakat September lalu. Angka ini jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman digital hari ini.
Bagi merungkai kekeliruan dan salah faham yang berlegar, berikut ialah penjelasan menyeluruh tentang apa itu MyDigital ID, fungsinya serta mengapa ia penting untuk setiap rakyat Malaysia.
MyDigital ID ialah identiti digital rasmi negara yang digunakan untuk pengesahan identiti secara selamat bagi mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan dan swasta tanpa menggantikan fungsi MyKad.
Pendaftaran MyDigital ID boleh dilakukan sepenuhnya melalui telefon pintar dengan memuat turun aplikasi rasmi dan menyediakan MyKad untuk pengesahan maklumat. Seterusnya, pengguna perlu mengesahkan alamat e-mel melalui OTP dan melengkapkan proses pengesahan identiti.
Keseluruhan proses ini direka ringkas, mesra pengguna dan tidak membebankan bagi memastikan setiap rakyat dapat menggunakan MyDigital ID dengan mudah dan selamat.
Salah satu salah faham paling besar ialah anggapan bahawa MyDigital ID akan menggantikan MyKad. Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza dan saling melengkapi, bukannya bersaing.
MyKad kekal sebagai dokumen pengenalan fizikal rasmi untuk urusan bersemuka, perundangan dan pengesahan identiti di kaunter. MyDigital ID pula diwujudkan khusus untuk dunia maya. Ianya berfungsi sebagai identiti digital selamat bagi membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan dan swasta.
Melalui konsep Single Sign-On (SSO), pengguna hanya memerlukan satu identiti digital untuk log masuk ke pelbagai aplikasi tanpa perlu mengingati banyak ID dan kata laluan. Ia ibarat satu kunci universal yang memudahkan urusan digital, menjimatkan masa dan dalam masa yang sama meningkatkan tahap keselamatan.
Antara kebimbangan utama masyarakat ialah dakwaan bahawa MyDigital ID digunakan untuk menjejak pergerakan atau memantau aktiviti atas talian pengguna. Dakwaan ini sebenarnya tidak tepat.
MyDigital ID hanya berfungsi apabila pengguna sendiri memilih untuk menggunakannya bagi tujuan pengesahan identiti. Sistem ini tidak merekod lokasi, tidak menyimpan sejarah pelayaran internet dan tidak memantau aktiviti harian pengguna.
Fungsi utamanya hanyalah untuk mengesahkan bahawa individu yang sedang log masuk benar-benar pemilik identiti tersebut. Sekali gus menghalang cubaan penyamaran atau akses tanpa kebenaran.
Satu lagi salah faham yang sering timbul ialah kepercayaan bahawa MyDigital ID menyimpan cap jari atau imbasan wajah pengguna. Sebenarnya, sistem ini tidak menyimpan sebarang data biometrik baharu.
Sebarang pengesahan biometrik seperti pengecaman wajah berlaku melalui sistem keselamatan peranti pengguna sendiri dan bukannya disimpan dalam pangkalan data MyDigital ID.
Data sedia ada yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya digunakan bagi tujuan pengesahan identiti tanpa disalin atau disimpan semula. Ringkasnya, biometrik anda kekal di dalam telefon anda.
MyDigital ID juga tidak melibatkan sebarang penggunaan cip, implan atau peranti fizikal tambahan pada tubuh pengguna. Ia beroperasi sepenuhnya secara digital dan tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian fizikal terhadap individu.
Semua proses pengesahan dilakukan melalui sistem digital yang selamat serta terus berhubung dengan pangkalan data kerajaan yang sah.
Bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti, setiap individu hanya dibenarkan memiliki satu MyDigital ID yang sah dan ia hanya boleh aktif pada satu peranti pada satu masa.
Langkah ini untuk memastikan identiti digital benar-benar unik dan terikat kepada pemilik asalnya. Sekiranya akaun cuba digunakan pada peranti lain, sistem akan menyekat akses bagi mengelakkan pertindihan atau pencerobohan identiti.
Kehilangan telefon pintar tidak bermakna identiti digital anda terdedah. Jika peranti hilang atau dicuri, pengguna boleh segera membatalkan sijil digital MyDigital ID bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Pembatalan boleh dilakukan melalui peranti lain atau di kios MyDigital ID yang disediakan. Aplikasi ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengesahan daripada pengguna. Oleh itu, identiti digital anda kekal selamat walaupun peranti berada di tangan orang lain.
Dari sudut keselamatan, MyDigital ID direka dengan teknologi penyulitan dan pengesahan berlapis. Untuk log masuk ke portal web, sistem menggunakan imbasan kod QR tanpa menghantar kata laluan atau maklumat sensitif kepada pihak ketiga.
Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko serangan phishing serta laman web palsu. Ia juga melindungi pengguna daripada pencurian kata laluan yang merupakan antara kaedah penipuan paling kerap berlaku hari ini.
Pendaftaran MyDigital ID boleh dilakukan terus melalui telefon pintar dalam beberapa langkah ringkas:
Muat turun aplikasi rasmi MyDigital ID melalui App Store, Google Play atau Huawei AppGallery.
Sediakan MyKad untuk tujuan pengesahan maklumat peribadi.
Daftar menggunakan alamat e-mel yang sah dan lengkapkan pengesahan melalui kod OTP.
Isi maklumat asas seperti nama dan nombor kad pengenalan mengikut rekod rasmi.
Lakukan pengesahan identiti seperti yang diarahkan dalam aplikasi.
Tetapkan kata laluan dan aktifkan ciri keselamatan tambahan untuk perlindungan akaun.
Pendaftaran selesai dan MyDigital ID sedia digunakan untuk akses perkhidmatan digital.
Ringkas, jelas dan direka untuk memastikan pengguna dapat mendaftar dengan cepat tanpa proses yang rumit.
Setakat ini, lebih 6 juta rakyat Malaysia telah mendaftar MyDigital ID dengan ratusan ribu akses ke perkhidmatan digital direkodkan. Ia kini menyokong pelbagai aplikasi dan portal kerajaan serta institusi pendidikan, kewangan dan perkhidmatan awam.
Antara aplikasi dan portal yang kini menyokong penggunaan MyDigital ID termasuk MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM, MyTNB, STR (Sumbangan Tunai Rahmah), MyGov SuperApp, MyPTPTN dan TVET Madani.
Selain itu, beberapa platform pendidikan turut menyokong MyDigital ID, antaranya SPA9, MyHRMIS Mobile, eKenderaan dan My Travel Approval.
Menjelang tahun 2026, penggunaan MyDigital ID dijangka diperluaskan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara. Langkah ini sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai identiti digital utama dalam ekosistem perkhidmatan digital Malaysia.
Sebagai kesimpulan, MyDigital ID bukan ancaman, bukan alat pemantauan dan bukan pengganti MyKad. Ia adalah lapisan keselamatan tambahan untuk melindungi identiti rakyat Malaysia dalam dunia digital yang semakin kompleks dan berisiko.
Dengan identiti digital yang sah, selamat dan dipercayai, urusan dalam talian menjadi lebih mudah, pantas dan terjamin. Dalam era di mana jenayah siber semakin berleluasa, MyDigital ID hadir bukan untuk mengawal tetapi untuk melindungi.