MyDigital ID: MyJPJ & MyBayar PDRM Bakal Guna Kaedah Single Login
PUTRAJAYA — Dua platform utama kerajaan MyJPJ dan MyBayar PDRM akan menggunakan kaedah log masuk tunggal (Single Login) yang akan mula dikuatkuasakan sepenuhnya dalam masa terdekat menerusi MyDigital.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim pada hari ini.
Susulan itu, beliau menyarankan orang ramai untuk mendaftar MyDigital ID segera bagi memastikan akses lancar kepada dua platform itu.
“Pada masa ini, kedua-dua platform ini telah pun diintegrasikan dengan MyDigital ID, di mana pengguna masih boleh memilih untuk log masuk menggunakan kata laluan sedia ada atau MyDigital ID.
“Namun, apabila pelaksanaan log masuk tunggal bermula, pengguna dikehendaki untuk log masuk menggunakan MyDigital ID sahaja bagi mengakses perkhidmatan tersebut.
“Bagi pengguna warganegara asing yang menggunakan MyBayar PDRM, kaedah log masuk sedia ada akan terus digunakan.
“Penggunaan MyDigital ID sebagai log masuk tunggal menjanjikan satu era baharu pengesahan identiti digital yang lebih mudah, selamat dan telus.
“Kami komited untuk memastikan setiap pengguna mendapat kemudahan maksimum dengan tahap keselamatan yang tinggi, sekali gus mempercepatkan transformasi digital negara secara inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Untuk makluman, MyJPJ menawarkan perkhidmatan semakan kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B, permohonan dan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan mata demerit, semakan status senarai hitam, semakan saman, pembayaran saman (kecuali kes senarai hitam), dan e- Aduan.
Manakala MyBayar PDRM pula berkaitan urusan semakan dan pembayaran saman trafik PDRM.
Setakat ini, MyDigital ID telah mencatatkan lebih 3 juta pengguna, dengan lebih 45 platform perkhidmatan Kerajaan dan swasta dalam talian yang telah berintegrasi dengan MyDigital ID.