Nahas Pelajar UPSI: Nurly Shahirah Hafaz 30 Juzuk, Tulis Tangan Al-Quran Demi Kuatkan Hafalan
“Arwah suka mengulang al-Quran. Dan arwah tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalan arwah,” luah Mohd Najmuddin Azman, 28, abang kepada Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, 23.
Allahyarhamah merupakan antara 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi semalam.
Di sebalik pemergian yang meruntun hati, tersingkap kisah luar biasa tentang kecintaan Allahyarhamah terhadap al-Quran.
Dalam satu perkongsian, Mohd Najmuddin menunjukkan koleksi tahriri (salinan tulisan tangan) al-Quran yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah.
Ujar Mohd Najmuddin, Allahyarhamah menjaga al-Quran dengan sangat baik, bahkan tidak pernah tinggal mengulang al-Quran setiap hari.


Di media sosial, ramai yang turut tersentuh apabila melihat hasil tulisan tangan Allahyarhamah yang kemas dan cantik.
“Cantik tulisan adik Nurly Shahirah binti Azman ini. Sangat mengagumkan apabila adik ini berjaya menulis satu al-Qur’an dengan tulisan tangan,” ujar warga maya yang terpegun dengan kesungguhan Allahyarhamah.
Pergi dalam dakapan al-Quran
Lebih menyentuh hati, Mohd Najmuddin turut berkongsi Allahyarhamah dipercayai pergi menghadap Ilahi dalam keadaan memeluk al-Quran.
Tidak hanya itu, Mohd Najmuddin turut terharu apabila menerima banyak mesej daripada anak murid Allahyarhamah yang belajar mengaji dengannya.
“Ramai sayang kau, dik,” tulis Mohd Najmuddin.
Difahamkan, Allahyarhamah juga seorang hafizah yang menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Dalam perkongsian lain, Allahyarhamah disifatkan oleh gurunya sebagai seorang yang sangat ‘bersungguh’ menjaga Al-Quran. Selalu juga meminta gurunya untuk menguji hafazannya.
Pemergian Allahyarhamah bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga, malah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah.
BACA: Adik Sanggup Tolak Tawaran Universiti Demi Tanggung Kakak Di UPSI
BACA: Jambangan Bunga Hadiah Terakhir Adib Kepada Ibu
BACA: Arwah Sempat Masak Mi Celup Untuk Keluarga – Abang Mangsa Kemalangan Bas Gerik
Sumber: Najmuddin Azman/FB