Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nahas UPSI: Pemandu Bas Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa, Pelajar

Azizah Najib
upsi pemandu bas maaf
Kredit: Bernama

Nahas UPSI: Pemandu Bas Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa, Pelajar

KOTA BHARU, 10 Jun (Bernama) – Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan tragis mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik, awal pagi semalam memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa terlibat.

Pemandu yang berusia 39 tahun itu berkata kejadian tersebut berlaku akibat kegagalan sistem brek yang menyebabkannya hilang kawalan sehingga bas terbabit merempuh besi penghadang jalan.

“Bas berada dalam keadaan baik sewaktu memulakan perjalanan, namun secara tiba-tiba, ketika melalui jambatan lintasan gajah di Gerik, brek tidak berfungsi dan gear juga tidak dapat ditukar.

“Saya memulakan kerjaya sebagai pemandu bas pada 2016 dan kejadian ini ialah kali pertama terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pemandu bas itu amat kesal dengan insiden yang berlaku serta menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

Ketika ini, pemandu terbabit sedang menunggu untuk menjalani pembedahan tangan kiri yang patah akibat kemalangan itu, di Hospital Taiping, Perak.

Dalam pada itu, dia turut menafikan khabar angin mengenai kematian kelindan bas, yang juga bapa saudaranya.

“Berita yang mengatakan beliau telah meninggal dunia adalah tidak benar kerana dia sedang menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53 JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Bas yang disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Sumber: Bernama

BACA: 6 Faktor Utama Nahas Bas, Lori Sering Berlaku Di Malaysia – MKN

BACA: MOT Akan Laksana Pematuhan Mandatori Kenderaan Berat – Loke