Sebut mengenai komitmen bulanan, bil elektrik di rumah juga kadangkala boleh memeningkan kepala.
Manakan tidak, penggunaan elektrik yang tinggi boleh menyebabkan jumlah bil meningkat, sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menjadi perhatian, ramai mula mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan tanpa menjejaskan rutin harian di rumah.

Sebenarnya, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan untuk mengawal penggunaan elektrik, termasuk dengan mengubah sedikit tabiat ketika menggunakan peralatan di rumah.
Berikut beberapa tip daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dipraktikkan di rumah bagi membantu menjimatkan penggunaan elektrik.
Empat langkah praktikal kurangkan bil elektrik:
1. Pantau penggunaan
Guna aplikasi myTNB untuk pantau penggunaan elektrik secarabulanan dan harian (bagi pengguna meter pintar).
2. Amalkan kecekapan tenaga
Tetapkan penyaman udara antara 24°C – 26°C dan gunakan pemasa. Guna peralatan elektrik dengan penarafan 4 atau 5 bintang.

3. Bertukar ke Time of Use (TOU)
Guna tenaga waktu luar puncak, iaitu antara 10 malam hingga 2 petang (Isnin – Jumaat) serta sepanjang hari (Sabtu, Ahad dan Cuti Umum) bagi menikmati kadar tarif yang lebih rendah.
4. Melabur dalam solar bumbung
Di bawah inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home, pengguna layak menerima rebat sehingga RM3,000 untuk sistem 5kWac dengan tempoh pulangan modal sekitar 8 tahun.
Menurut TNB, faktor-faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah boleh mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik di rumah dan memberikan kesan rantaian kepada bil bulanan.
