Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu AFA Dalam Bil Elektrik, TNB Tampil Beri Penjelasan

AFA TNB
Kredit: Bernama

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan bahawa Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment - AFA) tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik.

TNB dalam satu kenyataan memberi penjelasan susulan kebimbangan segelintir pengguna berhubung bil elektrik, terutamanya berkaitan komponen AFA.

“Kami memahami bebanan kos sara hidup dan ingin menjelaskan bagaimana mekanisme AFA berfungsi dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan bagi melindungi pengguna,” katanya.

Menurut TNB, AFA bukan caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada pihaknya.

AFA diperkenalkan bermula 1 Julai 2025 berikutan penstrukturan tarif elektrik sebagai ganti kepada mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Ia berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing.

Ujar TNB, pengguna domestik dengan penggunaan 600kWj ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.

“Pengguna di dalam julat ini turut dikecualikan daripada dikenakan cukai perkhidmatan 8% dan Caj Peruncitan.

“Malah, di bawah tarif baharu ini, kumpulan ini membayar kira-kira 2% hingga 14% lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

“Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati kadar rebat, dan jumlah penjimatan dipulangkan terus ke dalam bil elektrik,” jelasnya.

Malah, sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026.

TNB berkata apabila kos bahan api global lebih tinggi, perbezaan kos diselaraskan melalui kadar surcaj.

Surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei 2026 apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat.

“Kadar AFA bagi September 2026 ialah +3.67 sen/kWj. Maklumat ini dikemas kini dan dikongsikan setiap bulan di portal www.mytnb.com.my/tariff selepas pengesahan daripada Suruhanjaya Tenaga.

“TNB ingin menjelaskan bahawa AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik.

“Faktor-faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik di rumah dan memberikan kesan rantaian kepada bil bulanan,” katanya.

TNB turut menegaskan bahawa pihaknya kekal komited dalam memastikan setiap bil elektrik yang dibayar pengguna mencerminkan kos sebenar.

Pada masa sama, TNB menekankan bahawa AFA bukan mekanisme sehala. Apabila kos menurun, pengguna menikmati rebat, manakala apabila kos meningkat, perbezaan kos dikongsi bersama.

Sementara itu, pengguna domestik kekal dilindungi menerusi ambang penggunaan 600kWj ke bawah sebulan.

Intipati
  • TNB menegaskan AFA bukan caj baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada syarikat.
  • Pengguna domestik 600kWj ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada rebat atau surcaj AFA.
  • TNB berkata pola penggunaan ketika perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah mempengaruhi bil.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan