Seorang bapa di Perancis dilapor bakal menghadapi hukuman penjara selepas didakwa memotong talian perkhidmatan internet bagi seluruh bandar secara tidak sengaja, bertujuan untuk menyekat akses tersebut kepada anak-anaknya.
Memetik laporan New York Post, lelaki tersebut berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda dengan jumlah yang besar kerana memutuskan sambungan internet di bandar Messanges, barat daya Perancis.
Jelas laporan itu, bapa tersebut memotong talian itu menggunakan sejenis alat elektronik iaitu jammer yang dipercayai mampu menyekat atau menganggu isyarat telefon bimbit.
Bagaimanapun, perbuatannya itu merupakan satu kesalahan yang termaktub dalam undang-undang Perancis.
Difahamkan, dia telah membeli jammer itu untuk menyekat sambungan internet ke web di rumahnya antara tengah malam dan jam 3 pagi kerana anak-anaknya dikatakan terlalu ketagih dengan media sosial.
Tanpa disedari, peranti itu rupa-rupanya bukan sahaja menyekat akses internet di rumahnya tetapi di seluruh bandar itu juga.
Penyedia perkhidmatan internet dan Agensi Frekuensi Kebangsaan Kerajaan (Agence Nationale des Frequences atau ANFR) telah memulakan siasatan setelah menerima laporan daripada penduduk tempatan yang mengalami gangguan internet di kawasan itu.
Mereka telah menggunakan peranti radiogoniometri untuk mengesan alat ‘pengacau’ yang menghalang kedua-dua isyarat Wi-Fi dan telefon bimbit di rumah lelaki itu.
“Selalunya alat tersebut mempunyai bertindak dengan lebih meluas daripada yang kita fikirkan,” kata ANFR.
Kerana kesalahan tu, lelaki tersebut kini didakwa dan berdepan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sehingga 30,000 euro (RM142,111) serta bayaran 450 euro (RM2,131) kepada ANFR.
Sumber: New York Post