Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berhasil apabila mereka nekad bersembunyi di dalam longkang sebelum berjaya dikesan dan ditahan dalam Ops Selera dan Ops Kutip, semalam.
Aksi seorang lelaki dan seorang wanita warga asing itu bagaimanapun berjaya dihidu anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi di sekitar Kuching.
JIM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkenaan dijalankan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan pemeriksaan dilakukan di tujuh lokasi sekitar Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10 dan Kota Sentosa.
Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada premis kedai makan serta kedai yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.
“Sepanjang operasi, turut berlaku beberapa cubaan melarikan diri, namun kesemuanya berjaya ditangani anggota penguat kuasa.
“Keseluruhannya, 48 individu diperiksa dan 43 ditahan untuk tindakan lanjut, manakala satu saman saksi turut dikeluarkan,” katanya.
Jelas kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat aduan awam serta hasil risikan JIM Kuching.
Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sebelum dibawa untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Dalam pada itu, JIM Sarawak memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa diberi keutamaan.

