Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Netflix Umum Sekuel Filem Kpop Demon Hunters

Sekuel Filem Kpop Demon Hunters
Kredit: Netflix

Netflix Umum Sekuel Filem Kpop Demon Hunters

Gergasi penstriman Netflix mengumumkan akan menerbitkan sekuel kepada filem animasi Kpop Demon Hunters yang kini merupakan filem paling popular sepanjang masa di platform tersebut.

Filem yang mengisahkan kumpulan gadis K-Pop yang berasal daripada keturunan pemburu syaitan itu juga merupakan sebuah filem unik yang menggabungkan muzik K-Pop, aksi dan unsur fantasi.

Ia menjadi salah satu karya dari Korea Selatan yang mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat global.

Menurut pengumuman yang dimuat naik oleh Netflix di platform X, sekuel filem tersebut akan sekali lagi ditulis dan diarahkan oleh Maggie Kang bersama Chris Appelhans.

Filem berkenaan dicalonkan bagi dua Anugerah Akademi (Oscar) pada Ahad ini iaitu Filem Animasi Terbaik dan Lagu Asal Terbaik.

Lagu popularnya, Golden, yang mendominasi carta muzik di seluruh dunia turut mencipta sejarah apabila memenangi anugerah Lagu Terbaik Ditulis untuk Media Visual di Anugerah Grammy dan sekali gus menjadi lagu K-Pop pertama yang meraih kemenangan dalam kategori tersebut.

Pengarah dan penulis Korea-Kanada, Maggie Kang, yang menghasilkan filem asal dan akan turut mengendalikan sekuel itu, sebelum ini menyatakan bahawa beliau mahu menggambarkan budaya Korea secara autentik.

“Saya berasa amat bangga sebagai pembikin filem Korea apabila penonton mahukan lebih banyak kisah Korea dan watak-watak Korea,” ujarnya.

Ditayangkan pada Jun tahun lalu, filem ini mengikuti kejayaan beberapa karya lain yang mengetengahkan pengalaman masyarakat Korea dan diaspora Korea di pentas global seperti Parasite, Squid Game dan Pachinko.