Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Norza Zakaria Dilantik Naib Presiden Olimpik Asia

Gambar: Fb MOM

Norza Zakaria Dilantik Naib Presiden Olimpik Asia

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi menjawat jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Asia Tenggara bermula penggal 2024 hingga 2028.

Pelantikan itu diumumkan sewaktu Perhimpunan Agung OCA ke-44 yang diadakan pada hari Ahad, 8 September 2024, di New Delhi, India.

Timbalan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Norza.

“Bagi pihak MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Norza atas pemilihannya sebagai Naib Presiden OCA.

“Pemilihan Tan Sri Norza adalah bukti nyata kepada sifat kepimpinan dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk memajukan Pergerakan Olimpik, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Benua Asia,” katanya.

Sebelum ini, Norza Zakaria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas berkhidmat selama tujuh tahun di badan induk sukan badminton berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu diterima ahli majlis BAM pada Mesyuarat Majlis badan induk itu, yang sekali gus memutuskan Timbalan Presiden I BAM Datuk V. Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku presiden.

“Saya sebagai presiden BAM ini merupakan mesyuarat terakhir saya, dan juga telah merasmikan bahawa Datuk V. Subramaniam sebagai pemangku presiden,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Mohamad Norza berkata beliau selepas ini bakal menumpukan tugas di peringkat antarabangsa.

“Saya mempunyai banyak tugas, saya ada menyandang beberapa jawatan sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia, Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA), Ahli Jawatan Kuasa Koordinasi untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.

“Saya rasa cukup untuk saya menyumbang dalam sukan dua tiga tahun akan datang dan saya akan slow down selepas itu,” katanya.

Mohamad Norza turut berharap pucuk kepimpinan yang bakal menerajui persatuan badan induk sukan badminton, akan bersedia dan lebih terbuka untuk menerima apa sahaja yang ditempuh bagi sukan itu pada masa akan datang.

Sumber: Facebook MOM

BACA JUGA: Kadar Tol Mungkin Boleh Kurang Jika Kos Pembangunan Lebuh Raya Dikawal – PM Anwar

BACA JUGA: Wanita Jatuh Dalam Lubang Pembentung Sedalam Dua Meter