Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nuklear Malaysia, MADA Perkukuh Pengurusan Air dan Industri Padi Menerusi Teknologi Nuklear

Nuklear mada

Teknologi nuklear bukan hanya digunakan dalam bidang perubatan dan sains. Teknologi ini turut mempunyai aplikasi dalam sektor pertanian dan pengurusan sumber air, termasuk bagi membantu meningkatkan kecekapan industri penanaman padi.

Perkara ini antara yang diberi tumpuan menerusi kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Kerjasama ini melibatkan aplikasi teknologi nuklear dan hidrologi dalam pengurusan sumber air di Kawasan Muda, termasuk pemantauan sumber air bawah tanah, kajian sedimentasi serta integriti infrastruktur pengairan.

Nuklear Malaysia & MADA Perluas Aplikasi Teknologi Nuklear

Dalam sektor padi pula, kerjasama ini merangkumi penyelidikan agroteknologi pintar bagi pengurusan tanah, nutrien dan air. Teknologi seperti Internet of Things (IoT), teknik isotop dan penderiaan pintar turut menjadi antara bidang kerjasama bagi menyokong pengesanan awal penyakit dan perosak tanaman serta pengesahan ketulenan benih padi.

Nuclear mada

Kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam pembangunan varieti padi yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan ancaman seperti kemarau, banjir serta penyakit. Kerjasama penyeliaan bersama bagi program Sarjana dan Doktor Falsafah turut menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan kepakaran dalam bidang berkaitan.

Kerjasama ini mencerminkan bagaimana kepakaran teknologi nuklear boleh diaplikasikan kepada keperluan sebenar sektor strategik negara, termasuk pengurusan air dan keterjaminan makanan.

Peranan Nuklear Malaysia Dalam Ekosistem Teknologi Nuklear Negara

Peranan Agensi Nuklear Malaysia sendiri lebih luas daripada penyelidikan di makmal. Agensi ini menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyediakan perkhidmatan teknikal dan latihan, menyelaras hal ehwal nuklear di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menjadi pusat kebangsaan bagi metrologi sinaran dan pengurusan sisa radioaktif.

Peranan ini semakin strategik selepas pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 pada 20 September 2023. MOSTI merupakan kementerian peneraju dasar, manakala Nuklear Malaysia bertindak sebagai agensi penyelaras platform kerjasama nasional termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia turut menerajui Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan yang melibatkan kerajaan, pengawal selia, industri, institusi akademik dan pihak berkepentingan.

Nuklear mada

Pendekatan ini memastikan hasil R&D tidak berhenti pada penerbitan atau prototaip, sebaliknya diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan, teknologi dan penyelesaian untuk industri serta masyarakat.

Eksport Teknologi Nuklear Cecah RM6.21 Bilion

Perkembangan ekosistem teknologi nuklear tempatan turut dapat dilihat menerusi prestasi eksport.

Bagi tempoh 2021 hingga 2025, jumlah nilai eksport produk berasaskan teknologi nuklear tempatan dianggarkan mencecah RM6 bilion, melepasi sasaran nilai eksport RM2.403 bilion yang ditetapkan bagi 2030.

Produk berasaskan teknologi nuklear tempatan turut dieksport ke pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Brunei, Jepun, Jerman, Netherlands dan Thailand.

Pencapaian ini menunjukkan teknologi nuklear tempatan bukan sekadar menyokong aktiviti penyelidikan, tetapi turut mempunyai aplikasi dalam industri serta potensi pasaran eksport.

Nuklear mada

Dengan kerjasama merentas sektor seperti MADA dan Nuklear Malaysia, teknologi nuklear turut berperanan dalam menangani keperluan negara seperti pengurusan sumber air, produktiviti pertanian, pembangunan bakat dan keterjaminan makanan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Agensi Nuklear Malaysia, boleh layari portal rasmi di www.nuclearmalaysia.gov.my atau imbas QR bagi katalog perkhidmatan Agensi Nuklear Malaysia. 

Intipati
  • Nuklear Malaysia dan MADA bekerjasama menerapkan teknologi nuklear dalam pengurusan air Kawasan Muda.
  • Kerjasama turut meliputi IoT, teknik isotop dan penderiaan pintar untuk penyelidikan padi.
  • Eksport produk teknologi nuklear tempatan mencecah RM6.21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan