Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nurulhidayah Syukur Suami Dikurnia Gelaran Datuk Seri

nurulhidayah
Kredit: Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid

Nurulhidayah Syukur Suami Dikurnia Gelaran Datuk Seri

Pengurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, pengiktirafan yang diterima suaminya itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam, beliau menzahirkan rasa syukur atas limpah kurnia Allah SWT di atas pengurniaan darjah kebesaran tersebut.

“MashaaAllah. Tabarakallah. Dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, saya menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dengan pengurniaan darjah kebesaran itu buat suami saya.

“Sesungguhnya, setiap pengiktirafan bukanlah sekadar sebuah penghormatan, tetapi satu amanah yang lebih besar untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara dengan penuh keikhlasan, integriti serta rasa tanggungjawab,” katanya.

Darjah kebesaran itu dikurniakan sempena Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, George Town, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nurulhidayah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Tun Ramli atas perkenan mengurniakan darjah kebesaran tersebut kepada suaminya.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada ahli keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan turut menjadi kekuatan buat mereka berdua untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Terima kasih juga kepada seluruh ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan seperjuangan serta semua yang sentiasa mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan kami berdua.

“Doa dan kepercayaan yang diberikan menjadi kekuatan untuk kami terus melangkah,” ujarnya.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk itu, pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin untuk beliau dan suami terus memperbaiki diri serta memperluaskan khidmat kepada masyarakat.

“Semoga anugerah ini menjadi asbab untuk kami terus memperbaiki diri, memperbanyakkan khidmat kepada masyarakat dan sentiasa mengutamakan amanah melebihi penghormatan.

“Ya Allah, jadikanlah setiap nikmat yang Engkau kurniakan ini sebagai jalan untuk kami semakin dekat dengan-Mu, serta jadikan kami hamba yang sentiasa bersyukur, merendah diri dan bermanfaat kepada orang lain. Aaminn Yaa Rabb,” katanya.

Pada istiadat sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menjadi penerima tunggal Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.