Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan pada 12 dan 13 Ogos 2026 di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi penguatkuasaan ini adalah hasil aktiviti risikan pegawai penguat kuasa MOTAC di samping aduan dan maklumat daripada orang awam, penggiat industri serta persatuan industri pelancongan untuk mengambil tindakan terhadap pelanggaran bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan perundangan subsidiari di bawahnya.
Sebanyak tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu telah diperiksa sepanjang tempoh operasi.
Operasi yang melibatkan pegawai penguat kuasa MOTAC dari ibu pejabat dan pejabat negeri seluruh Malaysia telah mengeluarkan 15 notis pemeriksaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 482 termasuk sembilan notis bawah subseksyen 5 (2) kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah.
Risikan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur (KLTGA) bagi mengesan beberapa individu yang disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah turut dijalankan dengan tindakan penguatkuasaan bawah subseksyen 21 (1) telah diambil terhadap individu yang menjalankan pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah.
Selain kesalahan tersebut, operasi penguatkuasaan kali ini juga mengesan kesalahan lain seperti menggunakan kenderaan persendirian atau yang tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan dan berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen yang kesemuanya merupakan kesalahan bawah Akta 482 dan perundangan lain.
Kenderaan persendirian atau yang tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong yang telah dikenalpasti akan ditangani dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan individu, entiti, pemilik dan pihak yang berkaitan.
MOTAC memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang tidak berlesen untuk tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pemanduan pelancong, pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan sama ada secara dalam talian, media sosial, fizikal atau melalui medium lain.
Pihak terlibat boleh dikompaun maksimum sehingga RM250,000.00 atau jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.00 atau penjara sehingga 10 tahun atau keduaduanya di bawah Akta 482.
MOTAC sentiasa komited untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berkesan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan, integriti dan akauntabiliti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Orang ramai dan penggiat industri adalah dialualukan untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar undang-undang dan peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) seperti pautan berikut: https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do