Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperkukuh kehadirannya dalam pasaran China menerusi penyertaan dalam misi jualan Tourism Malaysia ke negara itu, melibatkan empat bandar utama iaitu Beijing, Zhengzhou, Wuxi dan Jinan dari 12 hingga 19 Oktober 2026.
Inisiatif berkenaan turut menyaksikan pelancaran kehadiran rasmi Naturally Langkawi di platform Xiaohongshu atau Rednote, sekali gus memperluas usaha promosi digital bagi mendekati pelancong China.
Menerusi platform gaya hidup dan penemuan pelancongan popular di China itu, LADA mengetengahkan keindahan alam semula jadi, keunikan budaya serta pengalaman percutian yang ditawarkan di Langkawi.
Pelancaran rasmi di Beijing disempurnakan bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung; Pengurus Pelancongan LADA, Waffa; serta Presiden Persatuan Pelancongan Masuk China Malaysia (MICA).
Menurut Pengurus Pelancongan LADA, Waffa, China kekal sebagai pasaran penting bagi Langkawi, manakala roadshow berkenaan menjadi peluang untuk memperkukuh hubungan dengan pemain industri pelancongan di bandar utama negara itu.
Katanya, usaha tersebut turut bertujuan memperkenalkan kisah Naturally Langkawi secara lebih dekat kepada pelancong China menerusi pendekatan hubungan perniagaan dan penceritaan digital.
“Melalui Xiaohongshu, kami dapat berkongsi tentang Langkawi dengan cara yang mencerminkan bagaimana pelancong hari ini mencari dan meneroka destinasi, iaitu menerusi penceritaan visual, cadangan autentik dan pengalaman yang meninggalkan kenangan.
“Kami mahu pelancong China melihat bahawa Langkawi bukan sekadar sebuah pulau yang indah, tetapi tempat untuk kembali dekat dengan alam semula jadi, meneroka pengalaman baharu dan akhirnya merasai semula pelbagai perkara bermakna,” katanya.
Kempen Naturally Langkawi membawa tema Feel Again yang mengajak pelancong menikmati pengalaman di pulau itu menerusi detik penuh keajaiban, hubungan, kemewahan dan pelbagai kemungkinan.
Langkawi turut menawarkan pelbagai tarikan, termasuk landskap purba, warisan Geopark Global UNESCO, pantai, hidupan liar serta pengalaman tempatan yang membolehkan pengunjung berehat dan mendekati alam semula jadi.
Sebagai sebahagian daripada usaha promosi digital di China, LADA akan menggunakan Xiaohongshu untuk mengetengahkan pilihan pengalaman yang mencerminkan kepelbagaian tarikan Langkawi.
Pelancong China juga boleh mengikuti akaun rasmi Naturally Langkawi di Xiaohongshu atau Rednote bagi mendapatkan inspirasi percutian, cadangan pengalaman terpilih serta perkongsian kisah dari seluruh pulau berkenaan.
Naturally Langkawi pula mengangkat kisah alam semula jadi yang terbentuk sejak 550 juta tahun lalu, merangkumi 99 pulau serta masyarakat yang membentuk budaya dan warisan kepulauan itu.
Kekayaan legenda, mitos, cerita rakyat dan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan menjadikan Langkawi sebuah destinasi yang bukan sahaja kaya dengan keindahan alam, malah menyimpan pelbagai kisah untuk diterokai pengunjung.

