Seekor orang utan jantan ditemukan dalam keadaan sangat lemah dan tidak sedarkan diri di sebuah ladang kelapa sawit milik penduduk di Desa Laman Satong, Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat pada Ahad, dipercayai akibat terdedah kepada asap tebal susulan kebakaran hutan dan tanah.
Memetik Detik Kalimantan, orang utan yang dinamakan Sampurna itu ditemukan dalam keadaan yang sangat lemah oleh penduduk kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan.
Selepas penduduk membuat laporan, pasukan gabungan daripada Badan Pemuliharaan Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat, Seksyen Pemuliharaan Wilayah I Ketapang, dan Yayasan Inisiatif Pemuliharaan Alam Indonesia (YIARI) segera ke lokasi.
Kakitangan Seksyen Pemuliharaan Wilayah I Ketapang, Sarbandi berkata pasukannya menemukan Sampurna dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Orang utan Kalimantan
“Pagi tadi kami menerima maklumat daripada orang ramai mengenai keberadaan orang utan di sekitar kawasan ladang.
“Kami terus melakukan pemeriksaan di lokasi dan menemukan orang utan tersebut dalam keadaan lemah,” kata Sarbandi pada Ahad.
Menurutnya, kebakaran hutan dan tanah dipercayai menyebabkan orang utan itu berpindah dari habitat asalnya sebelum memasuki kawasan ladang penduduk.
Pasukan gabungan bersama doktor haiwan YIARI kemudian memberikan rawatan awal di lokasi.
Keadaan Sampurna dipercayai berpunca daripada pendedahan kepada asap tebal yang menyelubungi kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu
Sehari sebelum ditemukan, kebakaran dilaporkan berlaku agak serius di sekitar kawasan tersebut.
Malah, ketika proses pemindahan dilakukan pada pagi Ahad, asap masih kelihatan tebal.
Sementara itu, bagi memudahkan proses menyelamat dan memastikan keselamatan pasukan, Sampurna kemudian diberikan ubat pelali.
Doktor haiwan YIARI turut memberikan bantuan oksigen dan cecair intravena kerana orang utan itu mengalami masalah pernafasan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada luka terbuka atau kesan terbakar pada tubuh Sampurna.
Doktor haiwan YIARI, Komara berkata, pendedahan kepada asap kebakaran hutan dan tanah boleh memberi kesan serius terhadap sistem pernafasan orang utan.
“Asap kebakaran hutan dan tanah mengandungi pelbagai partikel dan bahan yang boleh memasuki saluran pernafasan serta mengganggu fungsi paru-paru.
“Dalam keadaan pendedahan yang teruk, terutama apabila asap sangat tebal dan berlarutan selama beberapa hari, haiwan boleh mengalami gangguan pernafasan serta kekurangan oksigen atau hipoksia,” jelas Komara.
Menurutnya, keadaan Sampurna menunjukkan kemungkinan mengalami gangguan akibat pendedahan kepada asap.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut masih diperlukan bagi mengetahui kesannya terhadap tahap kesihatan orang utan tersebut.
“Kami masih perlu melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sejauh mana kesannya terhadap keadaan kesihatannya,” katanya.
Selepas menerima rawatan awal, Sampurna dipindahkan ke Pusat Penyelamatan dan Rehabilitasi Orangutan YIARI di Sungai Awan Kiri.
Sampurna akan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh termasuk bagi mengesan kemungkinan kerosakan atau gangguan pada paru-paru dan organ dalaman lain akibat terdedah kepada asap.
Hasil pemeriksaan itu akan menjadi asas kepada pasukan perubatan untuk menentukan rawatan seterusnya.
Penyelamatan Sampurna menambah senarai orang utan yang dipindahkan oleh BKSDA Kalimantan Barat bersama YIARI akibat ancaman kebakaran hutan dan tanah sepanjang Ogos 2026.
Sampurna merupakan orang utan ketujuh yang diselamatkan dalam tempoh tersebut.

