Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya tanah-tanah terbiar di negeri itu dikenal pasti dan dibangunkan secara produktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan sekuriti makanan.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda bertitah usaha tersebut perlu melibatkan tanah milik persendirian dan tanah kerajaan dengan keutamaan diberikan kepada sektor yang mampu menjana hasil serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Titah baginda, antara sektor yang berpotensi untuk diperkasakan termasuk perusahaan kelapa sawit, getah, kelapa, padi, buah-buahan serta tanaman bernilai tinggi.
“Seharusnya kita bertuah kerana Negeri Pahang mempunyai keluasan kira-kira 3.6 juta hektar tanah. Alangkah malangnya jika sebahagian besar tanah di Negeri Pahang ini tidak diusahakan,” titah baginda.
Menurut hantaran itu, baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri bagi mendengar taklimat berkaitan pengurusan serta pembangunan tanah di Pahang.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa pemberian hak milik tanah hanya akan memberi manfaat sekiranya pemilik bertanggungjawab memajukan kawasan berkenaan selain melunaskan cukai yang ditetapkan.
Baginda bertitah, setiap keputusan berkaitan pembangunan tanah perlu dikaji dengan teliti supaya penyelesaian yang diambil mampu memberi keuntungan kepada kerajaan negeri dan rakyat secara seimbang.
“Oleh itu, kajilah sebaik-baiknya supaya penyelesaian yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu kerajaan negeri dan rakyat.
“Setiap inci tanah yang kita miliki mempunyai potensi untuk diusahakan,” titah baginda.