Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sekumpulan pakar forensik berjaya melakar semula wajah mumia Mesir purba yang hamil buat pertama kali di dunia selepas 2,000 tahun kematiannya dengan menggunakan teknik 2D dan 3D.
Menurut The Mirror, mumia tersebut dikenali sebagai ‘The Mistery Lady’ yang dipercayai meninggal dunia dengan kandungan berusia 28 minggu.
Difahamkan usianya pada ketika itu sekitar 20 hingga 30 tahun dan ia dipercayai spesimen manusia pertama yang diawet ketika masih mengandungkan bayi.
Pakar forensik dikatakan telah menggunakan tengkorak dan bahagian belakang badannya yang lain untuk melihat rupanya ketika masih hidup iaitu pada abad pertama sebelum Masihi.
Menurut ahli antropologi forensik Itali dan ahli Projek Mumia Warsaw, Chantal Milani berkata, “Tulang dan tengkorak kita, khususnya, memberikan banyak maklumat tentang wajah seseorang individu.
“Walaupun ia tidak boleh dianggap sebagai potret yang tepat namun tengkorak adalah bahagian anatomi yang unik serta mampu menunjukkan satu bentuk yang akan muncul sebagai ‘muka akhir’,” katanya.


Imbas kembali pada tahun 1826, mumia wanita hamil itu ditemui dan dibawa keluar dari Mesir ke Warsaw di Poland.
Mumia yang diberi gelaran ‘The Mystery Lady’ itu dibalut dengan kain dan disemadikan bersama set harta serta azimat yang mewah untuk proses penyimpanannya.
Menurut perkongsian Warsaw Mummy Project di laman Facebook, “Ritual ini dikenali sebagai ‘mumifikasi’ yang merupakan ungkapan penjagaan yang diberikan untuk memelihara seseorang untuk kehidupan seterusnya,”

Dalam pada itu, Chantal Milani turut menjelaskan tentang prosedur proses melakar semula potret mumia berkenaan.
“Wajah yang menutupi struktur tulang mengikuti peraturan anatomi yang berbeza, justeru standard tersebut boleh digunakan semula misalnya untuk membentuk hidung.
“Elemen yang paling penting adalah melakar semula ketebalan tisu lembut pada banyak titik di permukaan muka. Dengan itu, kami mempunyai data statistik untuk pelbagai populasi di seluruh dunia,” tambahnya.
Malah, menurut pakar tersebut kaedah lakaran semula muka digunakan dalam forensik bagi tujuan membantu menentukan identiti mayat.
Perkara itu dilakukan sebagai usaha alternatif pengecaman identiti sekiranya kaedah pengecaman melalui cap jari atau analisis DNA tidak dapat dilakukan.
“Melakar semula wajah seseorang daripada tengkorak sering dianggap sebagai pilihan terakhir dalam usaha menentukan identiti mereka.
“Ia juga boleh digunakan dalam konteks arkeologi dan sejarah iaitu untuk menunjukkan rupa orang purba atau tokoh terkenal dari zaman dahulu,” katanya.

Sementara itu, ahli arkeologi dari Akademi Sains Poland, Dr Wojciech Ejsmond mengatakan ramai yang melihat mumia Mesir purba dengan rasa ingin tahu yang tinggi.
“Kita boleh mengatakan bahawa pakar forensik menggunakan muka untuk data saintifik. Jadi pameran tanpa nama atau identiti tidak lagi dipamerkan,” katanya.
Menurutnya lagi, adalah penting bagi orang Mesir purba untuk mengekalkan rupa seseorang bagi tujuan kelangsungan jiwa dan identitinya.
“Malah sekiranya ada pihak menganggap kita ‘memanusiakan semula’ manusia, tetapi di sisi lain kita memenuhi keinginan orang yang ingin dikenali dan tidak dilupakan,” tambahnya.
Sumber: The Mirror