Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia (PAVCKM) mengumumkan akan menghentikan pengeluaran televisyen (TV) di Malaysia menjelang akhir September 2026.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah besar dalam penyusunan semula operasi mereka bagi memperkukuh daya saing global.
"Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) akan menghentikan pengeluaran televisyen (TV).
"Pihaknya akan memindahkan pengeluaran pemain Blu-ray Disc ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co., Ltd. (CHPAVC) di China menjelang akhir September 2026.
"Langkah ini diambil bagi mengukuhkan daya saing perniagaan AVC Panasonic," maklum kenyataan itu.
Selain itu, bagi meningkatkan daya saing produk serta mengoptimumkan operasi pembuatan Panasonic di Malaysia, PAVCKM juga akan menamatkan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics menjelang akhir Februari 2027.
Berikutan itu, pengeluaran produk tersebut akan dipindahkan ke sebuah lagi syarikat di bawah Kumpulan Panasonic.
"Panasonic akan terus menghasilkan produk audio di Malaysia sambil mempertingkatkan lagi kecekapan operasi dalam aktiviti pengeluarannya.
"Operasi jualan dan perkhidmatan bagi produk TV serta audio di Malaysia juga akan diteruskan seperti biasa," katanya.
"PAVCKM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (Electrical Industry Workers' Union, EIWU) bagi memastikan semua pekerja yang terjejas menerima sokongan sewajarnya. Ia termasuk bantuan penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya," katanya lagi.
Tambah pihaknya, Malaysia kekal sebagai salah satu hab serantau utama Panasonic.
"Syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Panasonic di Malaysia menggaji kira-kira 12,000 pekerja merentasi pelbagai fungsi perniagaan, termasuk pembuatan bernilai tambah tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aktiviti korporat.
"Panasonic akan terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhannya dalam rantaian bekalan bernilai tambah tinggi dan kekal komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti setempat," maklum kenyataan itu.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan