Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Panduan Lengkap: Cara Gantung Jalur Gemilang Dengan Betul
Setiap kali bulan Ogos menjelma, suasana di seluruh negara menjadi lebih meriah dengan kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi bangunan, rumah, jalan raya dan kenderaan.
Bendera kebangsaan ini bukan sekadar hiasan tetapi lambang kemerdekaan, perpaduan dan kedaulatan negara yang telah diperjuangkan dengan penuh pengorbanan.
Sempena bulan kemerdekaan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengetahui cara menggantung serta menggunakan Jalur Gemilang dengan betul.
Dengan itu, maruah bendera dapat dipelihara dan semangat patriotisme dapat terus disemarakkan dari generasi ke generasi.
Jalur Gemilang merupakan bendera rasmi negara Malaysia yang menjadi lambang kedaulatan, kemerdekaan serta identiti rakyat. Bendera ini direka dengan penuh simbolik.
Terdapat 14 jalur merah dan putih yang mewakili 13 buah negeri serta Wilayah Persekutuan yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Warna merah melambangkan keberanian, manakala putih menggambarkan kesucian. Kotak biru di bahagian kiri atas bendera pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia dengan bulan sabit sebagai simbol Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah 14 sebagai tanda kesatuan negeri-negeri dan kerajaan persekutuan.
Warna kuning pada bulan sabit dan bintang pula adalah warna diraja yang menandakan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan, ia membawa maksud mendalam yang melangkaui sekadar hiasan. Ia adalah tanda kasih sayang dan kesetiaan kita terhadap tanah air serta simbol kebanggaan yang wajar dijaga dengan penuh rasa hormat.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan panduan lengkap tentang cara gantung Jalur Gemilang dengan betul supaya kita sama-sama dapat menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan cara yang beradab dan penuh penghormatan.
Cara yang paling tepat untuk menggantung Jalur Gemilang adalah secara melintang atau mendatar. Apabila dipasang, bahagian biru yang mengandungi bulan dan bintang mestilah berada di sudut kiri atas dari sudut pandangan hadapan.
Jalur yang pertama di bahagian atas ialah jalur merah manakala jalur terakhir di bahagian bawah ialah jalur putih.
Susunan ini melambangkan keberanian dan kesucian yang seimbang dalam masyarakat Malaysia. Kesilapan dalam memasang bendera seperti membalikkan kedudukannya atau menukar posisi warna boleh dianggap tidak menghormati simbol negara.
Oleh itu, perhatian yang teliti amatlah diperlukan semasa menggantung Jalur Gemilang.
Ini Panduan Lengkap dan Cara Untuk Gantung Jalur Gemilang Dengan Betul
2. Susunan dalam Flagline
Apabila beberapa bendera digantung serentak dalam satu rentetan (flagline), kesemuanya perlu dipasang dengan kedudukan yang sama iaitu secara mendatar.
Tidak boleh ada satu pun yang dipasang menegak atau terbalik kerana ia akan menjejaskan keseragaman. Keindahan bendera bukan sahaja terletak pada rekaannya tetapi juga pada cara ia dipamerkan.
Jika semua bendera dipasang dengan kedudukan yang betul, suasana yang terhasil akan lebih tersusun, kemas dan penuh dengan semangat patriotik.
Jalur Gemilang sebenarnya mempunyai bahagian ekor yang istimewa di hujung bawahnya. Bahagian ekor ini berukuran 1/8 daripada keseluruhan panjang bendera dan menjadikan bentuk bendera lebih seimbang.
Ramai mungkin tidak menyedari butiran ini, namun ia adalah sebahagian daripada standard reka bentuk rasmi Jalur Gemilang.
Oleh itu, apabila mencetak atau menghasilkan bendera, aspek ini perlu diambil kira agar bendera kelihatan seragam, tidak cacat bentuk dan sentiasa mengikut spesifikasi asal.
4. Larangan gantung menegak
Salah satu kesalahan paling ketara dalam pemasangan Jalur Gemilang adalah menggantungnya secara menegak terutamanya apabila digantung dalam jumlah banyak.
Perbuatan ini dianggap tidak menghormati bendera kerana ia menyalahi kaedah pemasangan rasmi. Menggantung bendera secara menegak boleh mengubah maksud dan simbolik yang terkandung dalam susunan jalurnya.
Contoh kesalahan biasa ialah menggantung bendera menegak di jalan utama atau pintu bangunan. Walaupun nampak meriah, ia sebenarnya menyalahi tatacara pemasangan.
Justeru, setiap kali Jalur Gemilang hendak dipasang pastikan ia dipamerkan dalam kedudukan mendatar supaya mesej perpaduan dan maruah negara yang dibawa olehnya kekal utuh.

5. Penggunaan di bangunan dan rumah
Jalur Gemilang boleh dipasang di bangunan kerajaan, sekolah, pejabat swasta, rumah persendirian dan juga premis perniagaan.
Sama ada dipasang di tiang atau pada dinding, ia perlu dinaikkan dengan tertib serta menggunakan saiz bendera yang sepadan dengan lokasi.
Sebagai contoh, bendera bersaiz besar lebih sesuai untuk bangunan rasmi manakala di rumah atau kedai memadai dengan saiz sederhana yang kemas dan jelas kelihatan.
Ramai yang gemar menghias kereta, motosikal, bas atau lori dengan Jalur Gemilang ketika bulan kemerdekaan.
Walaupun begitu, bendera mestilah dipasang dengan kukuh agar tidak tercabut atau koyak ditiup angin. Elakkan bendera daripada terseret di jalan raya kerana ia dianggap mencemarkan maruah bendera negara.
Saiz bendera juga perlu bersesuaian dengan kenderaan iaitu tidak terlalu kecil sehingga tidak nampak dan tidak terlalu besar sehingga menutupi cermin atau mengganggu pemandangan pemandu.
Pemasangan yang kemas dan teratur bukan sahaja melambangkan semangat patriotik tetapi juga menunjukkan rasa hormat kepada simbol kedaulatan negara.
7. Dalam majlis rasmi atau perarakan
Dalam majlis rasmi atau perarakan, Jalur Gemilang sentiasa perlu didahulukan berbanding bendera lain. Jika dipasang bersama bendera negeri, organisasi atau negara luar, kedudukan Jalur Gemilang mestilah berada di tempat paling utama sama ada paling kiri dari sudut pandangan hadapan atau di posisi paling tinggi.
Apabila lagu kebangsaan “Negaraku” dimainkan, semua yang hadir perlu berdiri tegak sebagai tanda hormat kepada bendera dan negara.
BACA : Cara Check “Scammer Online” Melalui Semak Mule PDRM
Etika penggunaan Jalur Gemilang
Selain tatacara menggantung, ada juga garis panduan tentang bagaimana Jalur Gemilang boleh dan tidak boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
Bendera negara tidak sepatutnya dijadikan alas meja, kusyen, langsir, payung, tuala mandi, pelitup muka, kain tudung, topi, songkok, tanjak atau sanping.
Penggunaan sebegini dianggap memalukan kerana bendera adalah lambang kehormatan negara bukan aksesori hiasan sewenang-wenangnya.
Begitu juga, ia tidak boleh dicetak pada objek seperti botol, tin, pasu, tiang atau tudung saji kerana tindakan ini dilihat merendahkan martabat bendera.
Namun begitu, rakyat masih boleh menggunakan warna asas bendera iaitu merah, putih, biru dan kuning sebagai inspirasi dalam hiasan atau tema sambutan.
Selagi tidak mencemarkan atau mengubah bentuk asal bendera, penggunaan warna ini dibenarkan dan malah boleh menambahkan lagi suasana meriah dalam perayaan kebangsaan.
Setiap rakyat Malaysia berhak untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Namun hak ini datang bersama tanggungjawab untuk menjaga maruah bendera.
Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan secara tertib sama ada ketika menaikkan atau menurunkannya. Ia tidak boleh dibiarkan terjatuh ke tanah, tersangkut atau dibiarkan lusuh tanpa penjagaan.
Sebelum mengibarkan Jalur Gemilang, beberapa perkara perlu diperhatikan. Antaranya seperti lokasi pemasangan, masa yang sesuai, saiz bendera, ketinggian tiang serta susunannya apabila dipasang bersama bendera lain.
Jika bendera negeri atau negara lain turut dipasang, Jalur Gemilang perlu berada di kedudukan utama sebagai lambang kedaulatan negara Malaysia.
Mengikut Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994, semua pejabat kerajaan persekutuan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang pada hari-hari rasmi serta hari kebesaran negara.
Walaupun begitu, orang awam juga digalakkan untuk mengibarkan bendera di rumah, premis perniagaan, sekolah dan gerai sebagai tanda kebanggaan terhadap negara.
Hakikatnya, Jalur Gemilang boleh dikibarkan pada bila-bila masa asalkan kedudukannya terhormat dan tidak disalahgunakan.
Oleh itu, sempena bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan dengan cara yang betul.
Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna-warni tetapi simbol perjuangan, penyatuan dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Dengan menjaga tatacara serta etika penggunaannya, kita dapat menunjukkan rasa hormat terhadap sejarah perjuangan bangsa, serta menyalakan semangat patriotisme yang akan terus hidup dalam jiwa anak-anak Malaysia pada masa depan.
Sumber : pmo.gov.my, penerangan.gov.my
BACA : Kenapa Telefon Pintar Anda Cepat Panas? Ini 7 Puncanya