Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Macam Ni Pun Takut”, Panik Biawak Masuk Rumah, Bomba Datang Pegang Sebelah Tangan Je

Anggota Bomba Tangkap Biawak
Kredit: TikTok @mumpsie4
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Apabila berlaku kecemasan melibatkan haiwan, tindakan utama yang sering dilakukan adalah menghubungi pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Biawak pula antara haiwan yang kerap ditemui memasuki kawasan rumah, menyebabkan ada masanya penghuni terpaksa mendapatkan bantuan untuk mengeluarkannya dengan selamat.

Tidak dinafikan, situasi berdepan dengan haiwan 'menceroboh' masuk ke dalam rumah juga kadangkala boleh mencetuskan momen yang mencuit hati.

Begitulah kisahnya @mumpsie4 yang berkongsi di TikTok pengalamannya menghubungi JBPM selepas menemui seekor biawak dalam kediamannya.

Perkongsian @mumpsie4 itu mencuit hati ramai warga maya apabila dia kelihatan agak gementar ketika bercakap dengan pihak JBPM sehingga beberapa kali tersasul.

Malah, cara percakapan @mumpsie4 yang begitu sopan turut mengundang gelak tawa warganet kerana kedengaran seperti dia meminta kebenaran untuk mendapatkan bantuan, bukannya terus meminta bantuan.

“Rumah kitorang ni kena masuk biawak, jadi nak minta tolong,” katanya dengan sopan.

Penjelasan @mumpsie4 kepada pihak JBPM mengenai keberadaan biawak tersebut juga menghiburkan ramai, lebih-lebih lagi apabila dia menggunakan bahasa Melayu baku.

“Biawak ada lagi. Dia dah dua kali tapi kali ni dia dah munculkan balik dan dia bersembunyi di belakang almari,” ujarnya.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran, @mumpsie4 turut berkongsi perkembangan terbaharu mengenai usaha menangkap biawak tersebut, dan hantaran itu ternyata lebih melucukan.

Menerusi video yang turut dimuat naik di TikTok, kelihatan enam orang anggota JBPM datang ke kediaman @mumpsie4 untuk membantu mengeluarkan biawak tersebut.

Rupanya, biawak tersebut tidaklah sebesar yang disangkakan warga maya dan hanya perlu ditangkap oleh seorang anggota bomba sahaja.

Lebih melucukan, anggota tersebut hanya memegang biawak berkenaan dengan sebelah tangan sebelum menunjukkannya kepada @mumpsie4 dan rakan-rakan serumahnya.

Anggota bomba yang lain hanya tersenyum melihat saiz biawak tersebut sebelum keluar dari kediaman itu tanpa perlu berbuat banyak.

Beberapa anggota turut membantu mengalihkan semula almari yang diubah kedudukannya ketika cuba menangkap biawak tersebut sebelum mereka beredar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terhibur melihat saiz biawak tersebut serta jumlah anggota bomba yang datang untuk membantu menangkap haiwan berkenaan.

Apapun, kejadian ini sudah pastinya boleh menjadi antara pengalaman menarik buat @mumpsie4 dan rakan-rakan serumahnya.

Intipati
  • @mumpsie4 menghubungi JBPM selepas menemui seekor biawak bersembunyi di belakang almari rumahnya.
  • Enam anggota bomba hadir, namun biawak kecil itu hanya ditangkap seorang anggota sahaja.
  • Warga maya terhibur melihat rakaman tersebut, termasuk cara sopan @mumpsie4 meminta bantuan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan