Rumah Hijau Jadi Sensasi, Selamatkan Keluarga Dari Banjir Lumpur Di Nepal
Bencana banjir yang melanda Nepal bukan sahaja meragut nyawa, malah menyebabkan kerosakan teruk kepada bangunan dan kediaman di kawasan terjejas.
Ketika media sosial dipenuhi rakaman bangunan yang dihanyutkan arus deras, warga maya turut menyaksikan video mencemaskan yang berakhir dengan berita menggembirakan.
Menerusi satu hantaran di X, @Deb_livnletliv berkongsi video memaparkan sebuah rumah berwarna hijau yang kekal utuh meskipun dihentam aliran banjir lumpur yang deras.
Enam Sekeluarga Terperangkap Dalam Rumah Hijau
Malah, lebih mencemaskan, keluarga pemilik rumah tersebut dilihat masih berada di dalam rumah tersebut dan telah mengambil perlindungan di balkoni kediaman mereka.
Bagaimanapun, rumah berkenaan berjaya menahan arus deras tersebut manakala keluarga terbabit dilaporkan selamat.
Susulan rakaman itu, rumah berwarna hijau itu menjadi tular di media sosial dan perbincangan kemudian tercetus mengenai bagaimana rumah itu masih berdiri kukuh sedangkan bangunan, kenderaan dan barangan di sekeliling telah dihanyutkan banjir.
Bercakap kepada The Lallantop, pemilik rumah berkenaan, Prakash, berkata dia menyangka nyawanya bersama keluarga akan berakhir dalam bencana banjir tersebut.
Mengimbas kembali detik cemas itu, Prakash bersama lima ahli keluarganya berusaha menyelamatkan diri dan naik ke tingkat lebih tinggi kediaman mereka.
Menurut Prakash, dia berada di sebuah kedai berhampiran ketika amaran banjir dikeluarkan sebelum berlari pulang ke rumah.
“Saya terus berlari pulang ke rumah. Saya masuk dan memanggil semua orang untuk segera datang keluar,” katanya.
Bagaimanapun, ketika cuba keluar dari rumah, Prakash mendapati kenderaannya sudah terbalik akibat dihentam arus deras.

“Melihat keadaan itu, saya terus berlari masuk ke dalam rumah,” ujarnya.
Tambahnya, air mulai naik ke tingkat empat kediaman mereka sehingga menyebabkan mereka terpaksa naik ke bahagian paling tinggi rumahnya.
Ketika paras air banjir terus meningkat, Prakash mula memikirkan keadaan keluarganya, terutama anak lelakinya yang berada di sekolah ketika kejadian.
“Semua ahli keluarga saya di sini kecuali seorang anak saya. Dia berada di sekolah. Saya terus memikirkan apa yang akan berlaku kepada dia kalau sesuatu berlaku kepada kami,” katanya.
Bercakap tentang rumahnya itu, Prakash memaklumkan bahawa kediamannya sudah berusia kira-kira 40 tahun dan dibina menggunakan bahan binana yang berkualiti tinggi.
“Rumah ini sudah lama, kira-kira 40 tahun. Pada masa itu, kualiti simen dan bahan binaan lebih baik.
“Kami juga membelanjakan banyak wang untuk mengukuhkan rumah ini kerana kedudukannya dekat dengan sungai.
“Dari segi keselamatan, kami turut meletakkan dua atau tiga lapisan bahan binaan di bahagian bawah. Jadi, asas rumah ini sangat kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, bahagian bawah rumah tersebut mengalami kerosakan teruk dan mereka kehilangan banyak barangan termasuk dua kenderaan serta motosikal dan skuter.
Keluarga itu hanya diselamatkan selepas terperangkap di kediaman hampir satu jam setengah sebelum air banjir mulai surut dan usaha menyelamatkan dapat dilakukan.
“Beberapa orang datang dan memasang sebatang paip antara bangunan. Mereka menggunakan paip dan tali untuk capai kami dari seberang. Begitulah cara kami diselamatkan,” katanya.

