Bencana yang melanda Nepal baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kemusnahan besar, malah turut meragut banyak nyawa.
Menurut laporan media, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada runtuhan glasiar berskala besar di kawasan tadahan Lhende Khila, Tibet.
Runtuhan tersebut menghempas dasar gaung sebelum menyekat aliran sungai yang sempit dan membentuk empangan semula jadi.
Bagaimanapun, empangan itu kemudiannya pecah secara tiba-tiba, menyebabkan gelombang puing, lumpur dan air setinggi sembilan meter mengalir deras merentasi sempadan Tibet menuju ke Daerah Rasuwa dan Nuwakot di Nepal.
Walaupun runtuhan glasiar bukanlah fenomena luar biasa, kebanyakannya berlaku dalam skala kecil dan jarang mencetuskan kemusnahan sebesar ini.
Kali ini, runtuhan dalam skala besar telah menghasilkan kesan berantai yang membawa air, lumpur dan puing merempuh kawasan di sepanjang laluannya.
Kejadian ini turut membuka satu ruang perbincangan di media sosial, di mana timbul persoalan apa yang tersimpan di sebalik lapisan ais yang telah terbentuk selama ribuan tahun.
Glasiar Simpan Virus Purba?

Virus Berusia Lebih 41,000 Tahun Pernah Ditemui
Glasiar bukan sekadar ais, sebaliknya turut menyimpan pelbagai bahan dan mikroorganisma yang mungkin terperangkap sejak zaman dahulu.
Malah, penyelidik sebelum ini pernah menemui virus purba yang masih wujud dalam ais glasiar berusia puluhan ribu tahun.
Pada 2024, sekumpulan penyelidik mengkaji sampel ais dari Glasiar Guliya di Dataran Tinggi Tibet dan mereka telah mengenal pasti kehadiran bahan genetik daripada sekitar 1,705 kumpulan virus yang dipercayai berasal leboh 41,000 tahun lalu.
Penemuan ini membuktikan bahawa ais glasiar boleh bertindak seperti 'peti simpanan' semula jadi yang memerangkap bahan biologi dari zaman lampau.
Bagaimanapun, penemuan bahan genetik virus ini tidak bermaksud semua virus itu masih hidup atau mampu menjangkiti manusia pada masa kini.
Virus Berjaya 'Dihidupkan Semula'
Lebih menarik, saintis pernah 'menghidupkan semula' virus purba yang berada dalam keadaan beku selama puluhan ribu tahun.
Pada 2014, penyelidik menemui Pithovirus sibericum, sejenis virus gergasi yang dipercayai telah membeku selama lebih 30,000 tahun dalam permafrost Siberia, Rusia.
Selepas 'dihidupkan semula' dalam makmal, virus itu masih mampu menjangkiti amoeba tapi ia tidak menyebabkan jangkitan kepada manusia.
Penemuan ini menunjukkan sesetengah virus kekal hidup selepas berada dalam persekitaran beku untuk tempoh yang sangat lama.
Pencairan Kawasan Beku Pernah Dikaitkan Dengan Wabak
Pada tahun 2016, wabak antraks pernah merebak di Siberia dan kes ini dipercayai berpunca dari glasiar yang mencair pada ketika itu.
Suhu panas pada ketika itu menyebabkan permafrost cair, dan keadaan itu dipercayai mendedahkan semula spora bakteria antraks yang telah lama tersimpan dalam tanah.
Namun begitu, permafrost dan glasiar bukanlah perkara yang sama dan antraks disebabkan oleh bakteria dan bukannya virus.
Kejadian ini tidka bermaksud setiap kali kawasan berais mencair, virus purba akan keluar dan menyebabkan wabak kepada manusia.
Perlu Risau Dengan Bencana Di Nepal?
Bencana yang melanda Nepal sememangnya merisaukan, terutama bagi penduduk di kawasan terjejas dan sekitarnya, namun kebimbangan ketika ini lebih tertumpu kepada banjir serta kemusnahan yang berlaku.
Setakat ini, tiada laporan mengenai virus yang sedang merebak di kawasan terjejas akibat runtuhan glasiar tersebut.
Memang benar, penyelidik pernah menemui virus purba yang terperangkap dalam ais glasiar, namun penemuan itu tidak bermakna setiap glasiar yang runtuh turut membawa virus berbahaya.
Jadi, tidak perlu membayangkan senario ‘virus zombie’ pula kerana setakat ini tiada bukti yang menunjukkan bencana di Nepal itu mencetuskan penularan virus purba.

