Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Papa Lepaskan Nombor Plat Kesayangan Demi Keluarga" - Kisah Anak Dinamakan Sempena Plat Kereta Undang Sebak

PLAT
Kredit: Threads/ @aqisjasman
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

"Papa Lepaskan Nombor Plat Kesayangan Demi Keluarga" - Kisah Anak Dinamakan Sempena Plat Kereta Undang Sebak

Ada kenangan yang nilainya bukan terletak pada harta, tetapi pada pengorbanan insan yang paling disayangi.

Itulah yang dikongsikan seorang pengguna Threads apabila menceritakan kisah di sebalik namanya yang unik, dipercayai diambil sempena nombor plat kereta milik arwah bapanya, sekali gus mengundang sebak dalam kalangan warga maya.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @aqisjasman berkata, dia dilahirkan 37 tahun lalu dan arwah bapanya menamakannya berdasarkan nombor pendaftaran kereta kesayangannya ketika itu, AQ15.

“37 tahun lepas, aku lahir dan arwah papa namakan aku sama dengan nombor plat kereta dia masa tu, so bila orang tanya apa maksud nama aku, aku gelak je lah. AQ15.

“Circa 2000, papa jatuh bankrap. Banyak benda terpaksa let go untuk survive kami anak beranak. Termasuk nombor plat ni.

“Bulan puasa itu hari, aku ternampak nombor ni kat Wangsa Walk. Aku bergambar buat kenangan dan send gambar ni ke papa,” katanya.

Dalam hantaran sama, dia turut memuat naik gambar arwah bapanya serta meluahkan rasa rindu yang masih tersimpan.

“So this is my late papa, Haji Jasman. The man. The myth. The legend. Always there for me "sedekahkan alfatihah untuk arwah Haji Jasman Jaffar".

“I'll see u on the other side, pa,” ujarnya.

Kredit: Threads/ @aqisjasman

Perkongsian tersebut menyentuh hati ramai netizen yang melihat nombor plat itu bukan sekadar identiti sebuah kenderaan, sebaliknya lambang kasih sayang seorang ayah kepada keluarganya.

Seorang pengguna, @auzaismail, berkata kisah itu membawa maksud yang jauh lebih mendalam daripada sekadar nombor pendaftaran.

“Bunyi macam kelakar. Namun dia namakan awak sempena benda paling dia sayang.

“Dulu AQ15 kesayangan dia, lepas awak lahir AQ IS permata hati pengarang jantung dia. Sebab nak pastikan AQ IS selesa hidup, dia gadaikan AQ15.

“Moga syurga buat papa awak, dan abi saya. Amin,” katanya.

Membalas komen tersebut, @aqisjasman mengakui tiada apa yang mampu menggantikan kasih sayang seorang bapa.

“Takde duit dan harta dalam dunia ni boleh tukar ganti. Amin amin,” katanya ketika membalas komen seorang lagi pengguna, @alifdalmim, yang menyifatkan kenangan bersama seorang ayah jauh lebih bernilai daripada apa jua nombor plat.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @_ailanaadaluna, turut berkongsi kisah yang tidak disangka-sangka.

“Kat rumah saya ada AQ juga tapi 1*.

“AQ15 ni zaman dulu arwah datuk pernah nak beli untuk anak perempuan dia (makcik saya) tapi orang tu tak nak jual. Saya percaya orang tu ialah bapa awak.

“Semoga bapa awak dimurahkan rezeki,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya tersentuh dengan pengorbanan seorang ayah yang sanggup melepaskan sesuatu yang amat disayanginya demi memastikan keluarganya dapat meneruskan kehidupan ketika berdepan ujian kewangan.

Bagi ramai netizen, kasih seorang bapa tidak selalu diungkapkan dengan kata-kata, tetapi lebih terserlah melalui pengorbanan yang hanya benar-benar difahami apabila dikenang semula.