Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik kerjasama pihak pembangkang bersama kerajaan persekutuan dalam usaha pemulihan negara kini.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama tersebut diyakini akan mencapai objektif berikutan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang dijalankan kerajaan.
“PAS yakin dalam masa yang sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.
“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, PAS juga turut bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang dipelopori kerajaan persekutuan sejak beberapa bulan lalu hingga kini.
Jelas PAS, ia adalah pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.
“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan,” kata kenyataan itu.
Semalam, berlangsung satu pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin-pemimpin pembangkang di Pejabat Perdana Menteri bagi membincangkan serta merealisasikan usaha kerjasama tersebut.
Hadir dalam pertemuan semalam adalah Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng.
Sumber: PAS / Bernama