Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pasaran Buruh S1 2026 Kekal Teguh, Perkeso Siap Siaga Intervensi Isu Kehilangan Pekerjaan

Azzwin
perkeso
Kredit: Bernama

Pasaran Buruh S1 2026 Kekal Teguh, Perkeso Siap Siaga Intervensi Isu Kehilangan Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pasaran buruh Malaysia pada suku pertama (S1) tahun ini terus menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan kadar pengangguran berada pada paras 2.9 peratus, meskipun cabaran utama masih melingkari isu ketidakpadanan kemahiran dan pengangguran belia.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini memaklumkan data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) merekodkan 24,025 individu mengalami kehilangan pekerjaan pada suku itu, sekali gus mencerminkan keperluan intervensi segera.

Perkeso memaklumkan walaupun pola kehilangan pekerjaan pada suku itu meningkat berbanding tahun sebelumnya, ia secara tidak langsung membuka ruang bagi program peralihan kerjaya dan peningkatan kemahiran yang sedang digerakkan Perkeso.

“Perkembangan semasa menunjukkan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik geopolitik, ketegangan perdagangan serta turun naik harga minyak memberi ruang untuk strategi sokongan lebih berfokus serta inovatif terhadap kestabilan pekerjaan domestik.

“Melalui ekosistem komprehensif daripada SIP, Perkeso tidak sekadar menyalurkan bantuan kewangan sementara malah menyediakan intervensi aktif menerusi portal MYFutureJobs sebagai hab pemadanan kerjaya nasional,” menurut kenyataan itu.

Dari Januari hingga 5 Jun, Perkeso memaklumkan telah meluluskan sebanyak 137,887 tuntutan faedah melalui SIP yang melibatkan jumlah pengesyoran bayaran keseluruhan mencecah RM255 juta.

Tuntutan itu merangkumi elaun kritikal seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Fi Latihan (FL) dan Elaun Latihan (EL).

“Jika dibandingkan S1 tahun-tahun lepas, 2022 merekodkan 10,433 kes kehilangan pekerjaan diikuti 10,985 kes (S1 2023) sebelum meningkat sedikit kepada 13,535 kes (S1 2024) dan melonjak kepada 16,174 kes (S1 2025).

“Secara pecahan, 10,658 kes direkodkan pada Januari lepas, iaitu yang tertinggi diikuti 7,512 kes (Februari) dan 5,855 kes (Mac),” menurut kenyataan itu.

Dari sudut sektor industri, sektor pembuatan kekal mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi, iaitu 4,871 kes (20.3 peratus), didorong oleh peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan permintaan global.

Perkeso memaklumkan, data turut menunjukkan tekanan pemberhentian pekerja berlaku secara meluas sejak awal tahun ini dengan pekerja berusia 25 hingga 39 tahun mencatatkan hampir separuh daripada keseluruhan kes, iaitu 11,997 kes.

Daripada jumlah itu, kumpulan usia 25 hingga 29 tahun merekodkan 4,428 kes, diikuti 30 hingga 34 tahun (4,218 kes) dan 35 hingga 39 tahun (3,351 kes).

Selain itu, golongan berpendidikan tinggi turut terkesan apabila pemegang Diploma dan Ijazah Sarjana Muda merekodkan 10,737 kes kehilangan pekerjaan daripada keseluruhan kes, sekali gus menekankan kepentingan penyepaduan program upskilling dan reskilling untuk golongan berpendidikan tinggi.

“Perkeso akan terus memantau situasi semasa dan mengenal pasti sektor paling terkesan serta memerlukan intervensi segera dengan program latihan, peluang kerjaya terus ditingkatkan bagi menyokong segenap lapisan pekerja yang terjejas,” menurut kenyataan itu.