Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Paus Paling "Sunyi" Di Dunia? Ini Kisah 52Hz

Paus Paling Sunyi
Kredit: Ocean Generation

Tahu tak, ada seekor paus yang pernah digelar “paus paling sunyi di dunia”? Namanya 52Hz, sempena frekuensi bunyi yang dihasilkannya. Bunyi ini berbeza daripada kebanyakan paus lain.

Tapi betul ke 52Hz sebenarnya sunyi?

Macam Mana Paus Paling “Sunyi” Ditemui?

Pada 1989, ahli biologi William “Bill” Watkins menemui satu rakaman bunyi paus yang agak pelik. Bunyinya berada sekitar 51.75Hz, jauh berbeza daripada bunyi paus lain yang biasa direkodkan.

Sebagai perbandingan, blue whale biasanya menghasilkan bunyi sekitar 10 hingga 40Hz, manakala fin whale pula sekitar 20Hz.

Humpback whale pula biasanya menyanyi pada julat 80 hingga 4,000Hz.

Jadi, bunyi 52Hz ini berada di tengah-tengah. Terlalu tinggi untuk blue whale dan fin whale, tetapi terlalu rendah untuk humpback whale. Sebab itu, paus tersebut digelar 52Hz.

Kenapa Orang Anggap 52Hz Sunyi?

Bill Watkins menjejaki 52Hz selama 12 tahun dan mendapati paus ini banyak bergerak sendirian.

Dalam sehari, ia bergerak secara purata 47 kilometer, malah pernah mencapai sehingga 69 kilometer. Pada satu musim, 52Hz juga pernah bergerak sejauh 11,602 kilometer.

Lebih pelik, paus ini pernah “menyanyi” selama lebih 20 jam sehari.

Hasil kajian itu kemudiannya mendapat perhatian media. Kisah tentang seekor paus yang mengembara sendirian sambil menghasilkan bunyi yang tidak dikenali membuatkan 52Hz mula dikenali sebagai “paus paling sunyi di dunia”.

Tapi ada satu masalah. Kita sebenarnya tak tahu sama ada 52Hz betul-betul sunyi.

Paus Lain Boleh Dengar 52Hz

Salah satu perkara penting yang sering terlepas daripada kisah 52Hz ialah paus lain sebenarnya masih boleh mendengar bunyinya.

Cuma, bunyi tersebut mungkin kedengaran pelik kepada mereka. Ada juga teori yang mengatakan 52Hz mungkin merupakan kacukan antara blue whale dan fin whale.

Teori ini belum dapat dibuktikan. Namun, penyelidik memang pernah menemui kacukan kedua-dua spesies tersebut.

Malah, seekor paus kacukan pernah direkodkan berenang bersama lebih 30 blue whale. Kalau paus itu sebenarnya 52Hz, nampaknya dia bukanlah sesunyi yang kita sangka.

Lebih menarik, pada 2010, dua stesen pemantauan berbeza turut mengesan bunyi dalam julat 52Hz. Mungkinkah ada paus lain yang menghasilkan bunyi sama?

Kita masih belum tahu.

Lautan Kita Pun Makin Bising

Walaupun kisah 52Hz mungkin tidak sesedih yang disangka, satu masalah memang wujud.

Lautan kita semakin bising. Kapal, kerja pembinaan luar pesisir dan aktiviti mencari minyak serta gas menghasilkan bunyi yang boleh mengganggu komunikasi paus.

Satu kajian menganggarkan North Atlantic right whale telah kehilangan lebih 60 peratus ruang komunikasi akibat bunyi bising manusia.

Selepas serangan 11 September 2001, trafik kapal di beberapa kawasan turut menurun. Menariknya, penyelidik mendapati paras hormon berkaitan tekanan dalam najis paus turut berkurangan.

Maksudnya, kurang bunyi mungkin bermakna kurang tekanan. Jadi, walaupun 52Hz mungkin tidak benar-benar sunyi, kisahnya membuka mata kita tentang satu perkara.

Lautan yang kita anggap sunyi sebenarnya penuh dengan bunyi. Dan semakin banyak bunyi yang kita hasilkan, semakin susah paus untuk “berbual” antara satu sama lain.

Mungkin 52Hz bukan paus paling sunyi di dunia. Mungkin kita cuma belum cukup lama mendengar.

Intipati
  • Paus 52Hz ditemui melalui rakaman bunyi pelik sekitar 51.75Hz pada 1989.
  • Gelaran paus paling sunyi muncul selepas ia dikesan banyak bergerak sendirian.
  • Artikel turut menekankan bunyi manusia di lautan boleh mengganggu komunikasi paus.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan