Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PBB Minta Dunia Bersedia, El Nino Bakal Tiba Julai Ini & Dijangka Rekod Suhu Tertinggi

Nur Syahirah Zainoor Hisham
el nino rekod suhu tertinggi
Kredit: AFP

PBB Minta Dunia Bersedia, El Nino Bakal Tiba Julai Ini & Dijangka Rekod Suhu Tertinggi

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah memberikan amaran fenomena El Nino mungkin akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang.

El Nino kali ini dijangka akan meningkatkan suhu global kepada paras yang lebih tinggi dan berkemungkinan rekod suhu tertinggi dunia akan direkodkan.

Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) berkata, kini dijangkakan kemungkinan El Nino berlaku pada hujung Julai ini adalah setinggi 60 peratus.

Pada masa yang sama, fenomena ini dijangkakan akan berakhir pada hujung September dengan kebarangkalian sebanyak 80 peratus.

“Perkara ini akan mengubah corak cuaca dan iklim di seluruh dunia,” Wilfran Moufouma Okia, Ketua Divisyen Perkhidmatan Ramalan Iklim Wilayah WMO memberitahu wartawan di Geneva.

El Nino, yang merupakan corak iklim yang berlaku secara semula jadi biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia.

Fenomena yang turut membawa insiden banjir dan hujan lebat di beberapa kawasan di dunia dan kali akhir berlaku pada sekitar 2018-2019.

Sejak 2020, dunia telah dilanda dengan fenomena La Nina yang bertentangan dengan fenomena El Nino dan ia berakhir pada awal tahun ini.

Namun begitu, PBB berkata lapan tahun terakhir adalah tempoh paling panas pernah direkodkan, walaupun kesan penyejukan La Nina turut berlaku dalam tempoh yang sama.

Tanpa fenomena tersebut, situasi pemanasan global akan menjadi lebih teruk daripada apa yang dilihat sekarang.

Sehubungan itu, pihak WMO menambah bahawa pihaknya bersama Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan akan terus memantau perkembangan fenomena ini.

El Nino akan memberikan kesan terhadap cuaca dan iklim kebanyak negara di dunia

Untuk makluman, perubahan corak iklim ini akan berlaku setiap dua hingga tujuh tahun secara purata. Secara kebiasaannya, fenomena ini akan bertahan selama sembilan hingga 12 bulan.

Ia dikaitkan dengan pemanasan permukaan lautan pada bahagian tengah dan timur kawasan tropika yang terletak di Lautan Pasifik.

Peningkatan taburan hujan biasanya dapat dilihat di beberapa bahagian selatan Amerika Selatan, selatan Amerika Syarikat, Tanduk Afrika dan Asia Tengah.

Manakala, kemarau dahsyat dijangka berlaku di Australia, Indonesia dan bahagian selatan Asia.

Semasa musim panas di hemisfera utara, aliran air panas daripada fenomena El Nino juga mampu mencetuskan ribut taufan di tengah dan timur Lautan Pasifik.

Pada masa yang sama, ia menghalang pembentukan ribut taufan di kawasan Lembangan Atlantik, kata WMO.

BACA: Sonny Bill Williams Luah Rasa Kagum, Puji Adab Kanak-Kanak Malaysia Ketika Bersalam

Sumber: AFP