Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor mengesahkan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum menjelang Hari Pengundian Awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 3,565 petugas telah digerakkan bagi memastikan proses pengundian awal berlangsung dengan lancar, selamat dan terkawal.
Menurut beliau, jumlah itu membabitkan 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam yang akan melaksanakan pelbagai penugasan di seluruh negeri.
“Penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses pengundian awal akan dijalankan di 64 pusat mengundi awal di seluruh Johor yang merangkumi 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Ab Rahaman, seramai 12,710 pengundi awal daripada PDRM telah berdaftar bagi PRN Johor kali ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 12,067 anggota akan mengundi secara fizikal di pusat mengundi awal, manakala baki 643 lagi akan menunaikan tanggungjawab melalui kaedah undi pos.
Dalam pada itu, beliau berkata PDRM Johor akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan sepanjang tempoh pengundian awal dan baki perjalanan PRN Johor bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberi kerjasama penuh kepada petugas di lapangan agar proses pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur.