Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Azam Baki Beri Keterangan Bantu Siasatan Dua Kes

Hannah
azam baki
Gambar: Astro Awani

Azam Baki Beri Keterangan Bantu Siasatan Dua Kes

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bagi membantu siasatan berkaitan dua kes berasingan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, keterangan tersebut direkodkan berhubung penerbitan laporan oleh Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad.

Selain itu, siasatan turut melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei.

Jelas beliau, pihak polis telah melengkapkan siasatan bagi kedua-dua kes dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

"Polis merakam keterangan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah," kata beliau, seperti dilapor Astro Awani.

Dalam pada itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan atau mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

"Kita komited dalam memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa," tambah beliau.

Dua jam di IPD Bukit Aman

Lapor Astro Awani, Azam memaklumkan bahawa keterangannya telah direkodkan selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 9 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau turut memberitahu bahawa peguamnya sedang memuktamadkan tindakan saman terhadap Albert Tei yang didakwa telah menjejaskan reputasinya.

"Kita akan fail saman dalam masa terdekat," ujarnya. 

Sumber:Awani