Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pekerja Stesen Minyak Dipenjara Kerana Seleweng Subsidi Budi MADANI Diesel

Pekerja Stesen Minyak Dipenjara
Kredit: Bernama

Pekerja Stesen Minyak Dipenjara Kerana Seleweng Subsidi Budi MADANI Diesel

LAHAD DATU, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang pekerja stesen minyak dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan nombor MyKad milik orang lain bagi mendapatkan subsidi BUDI MADANI Diesel.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata lelaki itu ditahan bersama-sama dua rakan sekerjanya, termasuk seorang wanita pada Jumaat lepas, namun kedua-dua mereka dijadikan saksi pendakwaan.

“Polis menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendapati kuota subsidi BUDI MADANI Diesel miliknya digunakan sebanyak empat kali melibatkan 43.01 liter tanpa pengetahuannya.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati modus operandi suspek adalah apabila pelanggan datang mengisi bahan api menggunakan MyKad untuk bantuan subsidi, suspek akan mencatat nombor MyKad pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin berkata suspek kemudian menggunakan kata laluan penyelia untuk memasukkan nombor MyKad berkenaan tanpa kad fizikal ke dalam mesin sistem BUDI MADANI Diesel sebelum subsidi itu digunakan untuk pembelian bahan api oleh pelanggan yang tidak layak menerimanya.

“Suspek akan memasukkan nombor MyKad orang lain dengan harga subsidi dan mengaut keuntungan secara salah,” katanya.

Dzulbaharin menasihati orang ramai supaya berwaspada ketika menyerahkan MyKad bagi urusan pembelian bahan api dan segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat tentang penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI.