Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Siasat Empat Kes, Nafi Berlaku Lima Kejadian Jenayah Di Tanjung Bungah
GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Polis menerima empat laporan dan membuka kertas siasatan berhubung empat kes jenayah yang dilaporkan berlaku di kawasan Tanjung Bungah sejak 28 Julai hingga 2 Ogos lepas, melibatkan kes pecah rumah, samun, pencerobohan dan kecurian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kes berkenaan melibatkan satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, satu kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, satu kes pencerobohan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta satu kes kecurian membabitkan alat kawalan jauh pintu pagar.
Beliau berkata dua daripada empat kes itu melibatkan kerugian kira-kira RM17,000, manakala dua lagi tidak menyebabkan sebarang kerugian, sekali gus menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa lima kejadian berlaku di kawasan itu.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut secara sendirian serta berjalan kaki kerana tiada pergerakan sebarang kenderaan.
"Berdasarkan siasatan kami juga, kejadian itu bukan berlaku lima kes dalam masa sehari seperti dakwaan yang tular, sebaliknya empat insiden dalam tempoh lima hari dengan semua jenayah terbabit dipercayai berlaku antara tengah malam hingga awal pagi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Abdul Rozak meminta penduduk di kawasan Tanjung Bungah supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terlihat individu mencurigakan bagi membantu mengenal pasti suspek, yang setakat ini masih belum dapat dikenal pasti kerana wajahnya ditutupi ketika melakukan jenayah di kawasan itu.
"Berdasarkan rakaman CCTV di kawasan itu, polis percaya suspek, iaitu lelaki yang memakai baju berwarna merah mungkin mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian tersebut, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan perkara berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang kerana kejadian itu disifatkan sebagai kes terpencil dan keselamatan di Tanjung Bungah masih terkawal selain polis mempertingkatkan rondaan di kawasan perumahan itu bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan seorang lelaki berbaju merah, bertopi dan memakai pelitup muka yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di Tanjung Bungah sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.