Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelajar MRSM Pasir Salak Guna Tulang Ikan Bandar Raya Hasilkan Suplemen

suplemen ikan bandar raya
Gambar: BERNAMA

Pelajar MRSM Pasir Salak Guna Tulang Ikan Bandar Raya Hasilkan Suplemen

KAMPUNG GAJAH, 21Julai (Bernama) -- Hanya berbekalkan peralatan makmal di sekolah, sekumpulan enam pelajar yang dibimbing seorang guru subjek Biologi, melakar nama dalam dunia inovasi apabila berjaya menghasilkan kapsul kalsium daripada tulang ikan bandar raya, sebagai makanan tambahan atau suplemen.

Kejayaan penuntut Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Salak itu membuktikan menerusi tunjuk ajar yang betul dan persekitaran sepadan, sistem pendidikan negara ini mampu menghasilkan bakat-bakat cemerlang dalam bidang sains dan inovasi.

Pada masa sama, kejayaan berkenaan diharapkan dapat membantu usaha pihak berwajib menangani masalah ikan bandar raya, atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus, spesies ikan asing invasif yang kini mengancam keseimbangan ekosistem sungai negara.

DARIPADA TULANG AYAM KEPADA RANGKA IKAN BANDAR RAYA

Berkongsi kisah mereka dengan Bernama, guru Mahfuza Mansor berkata idea menghasilkan suplemen menggunakan tulang ikan bandar raya itu tercetus daripada penyelidikan yang pernah dijalankannya bersama-sama dengan pelajarnya di MRSM sama menggunakan tulang ayam dua tahun lalu.

“Ketika itu kami dapatkan tulang ayam tersebut dari dewan makan asrama sekolah apabila melihat sebahagian besar sisa makanan tersebut hanya dibuang begitu sahaja, sedangkan tulang-tulang berkenaant ada potensi untuk dimanfaatkan.

“Melalui penyelidikan selama lima bulan itu, tulang ayam yang lazimnya berakhir sebagai sisa makanan, diproses menjadi serbuk suplemen kalsium, dan hasil inovasi tersebut turut melayakkan kami meraih pingat emas dalam Pertandingan IDEA’24 Innovation Development Through Educational Activities pada September 2024,” katanya.

Apabila isu ikan bandar raya mula mengisi ruang media sosial, beliau melihat ada potensi yang boleh diteroka sepertimana tulang ayam berkenaan.

“Saya terfikir, jika tulang ayam yang dianggap sisa makanan boleh dijadikan sumber kalsium, mengapa tidak gunakan pendekatan sama terhadap tulang ikan bandar raya yang banyak dibuang selepas ditangkap,” katanya.

PROGRAM SCHOOLWIDE ENRICHMENT MODEL

Mahfuza berkata idea tersebut kemudiannya diterjemahkan kepada sebuah projek penyelidikan yang lebih tersusun sekitar April 2025, melibatkan pelajar di bawah program Schoolwide Enrichment Model (SEM).

Menurutnya, sebelum eksperimen dijalankan, pelajar terlebih dahulu dikehendaki meneliti pelbagai jurnal, artikel akademik dan kertas penyelidikan bagi memahami kandungan serta potensi spesies invasif berkenaan.

Katanya pendekatan itu penting bagi memastikan setiap langkah penyelidikan mempunyai asas saintifik yang kukuh dan tidak sekadar bergantung pada andaian semata-mata.

“Hampir tiga bulan kami menghabiskan masa meneliti kajian terdahulu. Pelajar bukan sahaja membaca jurnal, malah mereka perlu memahami dan membentangkan semula dapatan kajian kepada saya.

“Daripada pembacaan itu, kami mendapati tulang ikan bandar raya mengandungi beberapa komponen penting seperti kalsium, kolagen dan gelatin yang berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber suplemen alternatif untuk kesihatan,” katanya.

Beliau berkata beberapa kajian terdahulu, termasuk yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), turut menunjukkan tulang ikan mempunyai kandungan kalsium yang tinggi, sekali gus mengukuhkan keyakinan pasukan penyelidik untuk meneruskan projek berkenaan.

MULAKAN EKSPERIMEN

Berdasarkan keyakinan daripada hasil penyelidikan tersebut, Mahfuza mula mendapatkan sampel ikan bandar raya bagi menjalankan eksperimen di makmal sekolah.

Beliau berkata sampel berkenaan diperoleh daripada pencipta kandungan media sosial yang aktif menangkap ikan bandar raya iaitu Mohd Nur Badri bin Mat Sidek, atau lebih dikenali sebagai Dunia Badol di platform Facebook.

“Saya menghubungi beliau untuk mendapatkan beberapa sampel ikan bandar raya. Apabila beliau tanya berapa ekor yang diperlukan, saya memaklumkan hanya mahukan tulang. Beliau agak terkejut, kerana katanya orang lebih berminat pada telur dan isi ikan itu.

“Saya kemudian jelaskan yang fokus kami adalah memanfaatkan sisa yang dibuang begitu sahaja untuk dijadikan produk bermanfaat,” katanya.

HASIL EKSPERIMEN DAN ANALISIS SAINTIFIK

Mahfuza berkata selepas memperoleh sampel ikan bandar raya, pelajar terlibat memulakan siri eksperimen di makmal sekolah.

Ujarnya proses pemprosesan bahan mentah dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri percubaan sebelum berjaya menghasilkan kapsul suplemen sebagai prototaip awal produk.

“Proses ini tidak berlaku sekali gus, sebaliknya melalui beberapa percubaan di makmal sehingga kami berjaya menghasilkan kapsul yang stabil untuk diuji,” katanya.

Beliau berkata selepas kapsul berjaya dihasilkan, sampel dibawa ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi menjalani analisis kandungan menggunakan mesin Inductively Coupled Plasma (ICP) Spectroscopy.

Katanya analisis tersebut dijalankan bagi menentukan kandungan mineral dalam produk selain memastikan tahap keselamatan, khususnya kehadiran logam berat, berada pada paras yang dibenarkan.

“Hasil ujian mendapati kandungan kalsium dalam sampel adalah tinggi, manakala kandungan logam berat arsenik pula sangat rendah iaitu sekitar 0.008 miligram per liter, jauh di bawah paras maksimum yang dibenarkan iaitu lima miligram per liter,” katanya.

Beliau berkata dapatan itu mengukuhkan lagi potensi tulang ikan bandar raya sebagai sumber kalsium alternatif yang selamat untuk dibangunkan sebagai produk inovasi, khususnya dalam sektor makanan kesihatan.

Katanya keseluruhan proses penyelidikan daripada fasa eksperimen di makmal sekolah sehingga analisis saintifik di UTP mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disempurnakan.

PENGIKTIRAFAN DAN RANCANGAN PENGKORMESIALAN

Mahfuza berkata projek berkenaan berjaya meraih beberapa pengiktirafan peringkat antarabangsa, termasuk pertandingan inovasi di Jakarta pada Jun lepas.

Mereka juga menjadi johan bagi kategori Sustainable Development Goals (SDG) dan pingat emas dalam pertandingan International Invention and Innovation Competition (I3C). Selain itu, bagi pertandingan Innovation World Cup (IWC), projek tersebut turut berjaya mendapat pingat emas.

Selain itu, projek berkenaan turut mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas serta Excellent Research Award di Abu Dhabi pada pertandingan Expo-Sciences International yang berlangsung dari 27 Sept hingga 3 Okt tahun lalu.

Mahfuza berkata pengiktirafan yang diraih itu membuktikan produk berkenaan berpotensi untuk dikomersialkan, selain membantu dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Ujarnya pendekatan itu juga selari dengan konsep ekonomi kitaran yang menekankan penukaran sisa atau spesies tidak bernilai kepada produk yang lebih bermanfaat, di samping berpotensi menjana pendapatan melalui pembangunan inovasi berasaskan transformasi bahan tersebut.

“Apabila produk ini dikomersialkan, lebih banyak ikan bandar raya akan ditangkap untuk dijadikan bahan asas penghasilan produk. Secara tidak langsung dapat membantu mengawal dan mengurangkan populasi spesies invasif ini di perairan negara,” katanya.

MANFAAT DIPEROLEH PELAJAR

Bagi ketua kumpulan, Muhammad Danish Iman Bin Ahmad Daud, 16, penglibatannya dalam projek itu merupakan pengalaman berharga dalam bidang penyelidikan saintifik, namun pada masa sama menuntut komitmen tinggi khususnya dalam mengimbangi tugasan projek dan tanggungjawab akademik.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekangan masa, selain memastikan setiap ahli kumpulan sentiasa komited menghadiri perjumpaan, melaksanakan tugasan dan menyiapkan kerja mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

“Kami perlu benar-benar mengurus masa dengan baik kerana jadual pembelajaran yang padat,” tambahnya.

Seorang lagi ahli pasukan, Muhammad Rayyan Zafri bin Che Amat, 16, berkata projek berkenaan membuka ruang kepadanya untuk mendalami dunia penyelidikan saintifik, khususnya dalam aspek eksperimen makmal yang memerlukan ketelitian dan pematuhan prosedur yang ketat.

Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang projek tersebut berlangsung ialah proses eksperimen yang melibatkan penggunaan bahan kimia serta pelbagai prosedur saintifik yang perlu dilaksanakan dengan hati-hati bagi memastikan keselamatan dan ketepatan keputusan kajian.

“Sepanjang projek ini, saya banyak belajar perkara baharu terutama dalam aspek eksperimen dan analisis, termasuk kepentingan memastikan setiap langkah dibuat dengan betul supaya hasil kajian mencapai objektif,” katanya, menambah sebarang kesilapan, walaupun kecil, akan menjejaskan keputusan penyelidikan.

PERKASA BUDAYA PENYELIDIKAN DAN INOVASI

Kejayaan projek tersebut meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa dilihat sebagai bukti keberkesanan usaha MRSM Pasir Salak dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar.

Pengetuanya Mohd Fadzli Muhammad berkata pencapaian itu bukan sahaja membanggakan institusi berkenaan, malah menunjukkan pelajar sekolah juga mampu menghasilkan penyelidikan berkualiti yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Budaya penyelidikan ini diterapkan menerusi pelaksanaan Schoolwide Enrichment Model yang menjadi antara komponen utama dalam sistem pendidikan MRSM.

“Melalui SEM juga, pelajar didedahkan kepada proses penyelidikan secara sistematik, bermula daripada pencetusan idea, pengumpulan data, pelaksanaan kajian sehingga menghasilkan laporan dan pembentangan projek,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pendekatan berkenaan turut membolehkan idea asal dikembangkan menjadi inovasi yang mempunyai nilai tambah dan impak lebih besar melalui bimbingan guru terlatih.

Mengulas usaha memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar, beliau berkata pihaknya menetapkan sasaran agar 90 peratus pelajar menceburi bidang STEM, selaras dengan hala tuju pendidikan MRSM.

“Oleh yang demikian, kita perlu mewujudkan suasana dan program yang menyokong penyelidikan serta inovasi supaya budaya itu dapat berkembang dalam kalangan pelajar,” katanya.