Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa
KUALA PILAH, 19 April (Bernama) — Seorang pelajar tingkatan dua meninggal dunia ketika menyertai acara larian merentas desa peringkat sekolah di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, rebah kira-kira 50 meter sebelum ke garisan penamat bagi acara larian itu kira-kira 9.30 pagi tadi.
“Anggaran 700 pelajar menyertai larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer itu pagi tadi dan ketika pelajar itu hampir ke garisan penamat, dia telah rebah serta tidak sedarkan diri. Guru ada memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar tersebut tidak memberikan tindak balas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihak sekolah segera menghubungi talian 999 dan pelajar itu dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.
“Pada 10.15 pagi tadi ambulans tiba di Unit Kecemasan dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, pelajar itu akhirnya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid ketika ditemui di Unit Forensik HTAN mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pelajar berkenaan.
“Saya diberitahu oleh pihak keluarga dan sekolah bahawa pelajar ini ada penyakit jantung, dia tidak berlari sangat mungkin keadaan kesihatannya itu membuatkan dia berasa tidak selesa dan terus rebah.
“Saya telah berjumpa dengan pengetua dan keluarga, masing-masing dapat menerima keadaan ini dengan baik terutamanya ibu bapa pelajar itu, mereka mengakui anaknya ada penyakit dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya hasil pertemuan bersama pihak sekolah dan keluarga, beliau dimaklumkan bahawa pelajar itu memang berminat untuk melakukan larian tersebut.
“Saya berharap perkara ini tidak diviralkan secara salah, perlu terima takdir ini malah ibu bapa pelajar itu juga menerima takdir ini dengan baik walaupun sukar.
“Hanya keluarga sahaja yang tahu minat anaknya dalam bidang sukan, mungkin ibu bapa tahu anaknya boleh merentas desa atau melakukan aktiviti lain, netizen tidak tahu…saya bertanya kepada ibu pelajar itu, anaknya minat untuk melakukan aktiviti itu dan apabila bersama kawan-kawan dia lupa yang dia sakit,” katanya.
BACA: Kenapa Ada Kilat Ketika Gunung Berapi Meletus? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: Bernama