Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon Dakwa Kerajaan Albania Guna Wajahnya Tanpa Izin Untuk Hasilkan Menteri AI

pelakon albania menteri ai
Kredit: AFP

Pelakon Dakwa Kerajaan Albania Guna Wajahnya Tanpa Izin Untuk Hasilkan Menteri AI

Pelakon Albania, Anila Bisha, terkenal dengan watak wanita yang kompleks di pentas dan layar perak sepanjang lebih 30 tahun kerjaya.

Bagaimanapun, dia kini berdepan situasi yang tidak pernah dibayangkan iaitu hidup di bawah bayang-bayang avatar kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan wajah dan suaranya tanpa persetujuannya.

Pada September lalu, Perdana Menteri Albania, Edi Rama, mengumumkan pelantikan menteri pertama yang dijana AI, yang ditugaskan membanteras rasuah dalam tender awam.

Tidak lama kemudian, 'menteri' tersebut menyampaikan ucapan sulung di parlimen.

“Saya bukan di sini untuk menggantikan manusia, tetapi untuk membantu mereka,” kata bot berkenaan yang berpakaian tradisional Albania.

Tidak pernah bersetuju wajah digunakan untuk tujuan politik

Namun, video tersebut membuatkan Bisha tergamam kerana dia mendakwa tidak pernah bersetuju agar wajahnya digunakan untuk tujuan itu.

“Saya tidak percaya apabila melihat diri saya menyampaikan ucapan di parlimen, apabila mendengar suara saya berkata bahawa saya seorang menteri. Saya terkejut dan menangis,” kata wanita berusia 57 tahun itu kepada AFP.

Pada awal 2025, Bisha bersetuju meminjamkan wajah dan suaranya untuk pembantu maya bagi portal perkhidmatan kerajaan dalam talian yang bertujuan membantu orang ramai menguruskan birokrasi.

Dia gembira pada ketika itu, namun kerjanya sangat mencabar.

Untuk menghasilkan avatar yang responsif dan realistik bagi chatbot tersebut, dia berdiri berjam-jam dan bercakap tanpa henti.

Setiap pergerakan mulut dan setiap bunyi perlu dirakam supaya bot yang dinamakan Diella atau Matahari dalam bahasa Albania itu dapat bertindak balas secara semula jadi terhadap permintaan pengguna.

Dalam beberapa bulan, Diella mencatat hampir satu juta interaksi dan mengeluarkan lebih 36,000 dokumen melalui platform itu, satu kejayaan yang dipuji kerajaan dan pengguna.

“Saya menerima begitu banyak ucapan tahniah mengenai Diella,” kata Bisha.

Pada September, Rama secara tiba-tiba menaikkan pangkat chatbot itu menjadi menteri perolehan awam. Langkah itu dijanjikannya akan menjadikan tender awam 100 peratus bebas rasuah.

Tidak dimaklumkan oleh kerajaan

Namun dengan perincian awam yang terhad, pengumuman itu mengundang kritikan keras daripada pembangkang dan pakar yang membangkitkan isu perlembagaan serta akauntabiliti di sebuah negara yang berdepan rasuah meluas.

Bisha pula mendakwa dia tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Penggunaan wajah dan suara saya untuk tujuan politik adalah perkara yang sangat serius,” katanya.

Menurut pelakon itu, dia hanya menandatangani kontrak bagi penggunaan imejnya di platform e-perkhidmatan dan perjanjian tersebut tamat pada Disember tahun lalu. Pun begitu, kerajaan terus menggunakan avatar tersebut.

Pada satu persidangan di Berlin, Rama malah bergurau mengatakan Diella sedang 'mengandung' dan bakal melahirkan 83 'anak', merujuk kepada setiap Ahli Parlimennya.

Kenyataan itu membuatkan Bisha berasa amat tersinggung.

“Orang yang membenci perdana menteri membenci saya pula. Itu sangat menyakitkan,” katanya.

Fail tindakan undang-undang

Bisha kini memfailkan tindakan undang-undang terhadap penggunaan avatar tersebut. Percubaan awal untuk menggantung penggunaan imejnya ditolak mahkamah, namun saman penuh akan difailkan, termasuk tuntutan ganti rugi sebanyak satu juta euro.

Jurucakap kerajaan menyifatkan saman itu 'tidak berasas', tetapi menyatakan kesediaan menyelesaikannya di mahkamah.

Bisha berkata dia akan terus berjuang sehingga mendapatkan kembali identitinya, termasuk membawa kes itu ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah jika perlu.