Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelakon Giancarlo Esposito Peluk Islam Di Arab Saudi
Pelakon terkenal Amerika Syarikat (AS), Giancarlo Esposito, yang popular menerusi watak Gus Fring dalam siri televisyen "Breaking Bad", dilaporkan telah memeluk agama Islam ketika berada di Arab Saudi.
Menurut laporan Saudi Gazette, Pengerusi General Entertainment Authority Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, memaklumkan bahawa Esposito telah melafazkan dua kalimah syahadah sebelum menunaikan solat berjemaah bersama anggota pasukan produksi di sebuah masjid ketika menjalani penggambaran di negara itu.
Turki berkata, keputusan pelakon berusia 67 tahun itu untuk memeluk Islam dibuat selepas beliau melalui pengalaman yang positif sepanjang berada di Arab Saudi serta berinteraksi dengan masyarakat Islam ketika terlibat dalam projek penggambaran di negara berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Esposito menyatakan penghargaan terhadap layanan mesra, keramahan dan semangat kekeluargaan yang diterimanya sepanjang berada di sana.
Sementara itu, sebuah video yang tular di media sosial memaparkan Esposito sedang menunaikan solat bersama beberapa anggota produksi di dalam sebuah masjid, sekali gus menarik perhatian ramai pengguna internet.
Giancarlo Esposito mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam industri filem dan televisyen selama beberapa dekad.
Selain terkenal menerusi watak Gus Fring dalam "Breaking Bad", beliau turut membintangi siri popular seperti "Better Call Saul", "The Mandalorian" dan pelbagai lagi produksi antarabangsa.
Lakonannya sebagai Gus Fring bukan sahaja mendapat pujian pengkritik. Malah, turut melayakkan beliau menerima pelbagai pencalonan anugerah di peringkat antarabangsa.
Menurut Saudi Gazette, Esposito kini sedang menjalani penggambaran filem "Seven Dogs", salah satu daripada beberapa produksi berskala besar yang sedang dibangunkan di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada usaha negara itu memperkukuh industri hiburan dan perfileman serta menarik lebih ramai penerbit dan bakat antarabangsa.