Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelakon Veteran Hong Kong, Stanley Fung Meninggal Dunia
Pelakon dan pengarah filem veteran Hong Kong, Stanley Fung Shui-fan dilapor meninggal dunia pada usia 81 tahun semalam.
Menurut portal Mothership, berita dukacita ini dimaklumkan oleh Ahli Majlis Bandar Raya New Taipei, Tsai Shu-chun di laman Facebook miliknya.
Pemergian mendiang berlaku hanya beberapa hari selepas kematian rakan karibnya iaitu pelakon terkenal Benz Hui, yang meninggal dunia pada 28 Oktober lalu.
Selepas berita kematian Hui, mendiang sempat meluahkan rasa sedihnya di media sosial dengan menulis, “Saya berasa pilu kerana dia benar-benar pergi dahulu sebelum saya, meninggalkan rasa sayu yang sukar digambarkan.”
Dalam pada itu, beliau turut menamatkan pesanan tersebut dengan kata-kata menyentuh hati.
“Saudaraku yang dikasihi, tunggulah saya di sana. Saya akan menyusul tidak lama lagi,” katanya lagi.
Mendiang pernah dirawat di hospital selama 2 bulan
Portal Mothership melaporkan bahawa mendiang pernah dimasukkan ke hospital selama dua bulan akibat masalah kesihatan.
Beliau turut berkongsi sekeping foto di media sosial yang menunjukkan dirinya menggunakan alat bantuan pernafasan (oxygen concentrator).
Stanley Fung memaklumkan pada ketika itu beliau baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital, namun mengakui keadaannya masih belum pulih sepenuhnya.
Pelakon hebat dalam dunia sinema Hong Kong
Sebelum ini, mendiang telah menetap di Taiwan selama lebih 30 tahun dan sudah lama menarik diri daripada industri hiburan.
Peranan terakhirnya di layar perak ialah dalam filem seram Taiwan berjudul Them, Behind the Door atau Hu Die Da Shia, yang ditayangkan di Taiwan pada tahun 2024.
Selain itu, beliau merupakan antara figura penting dalam industri filem dan televisyen Hong Kong dari era 1970-an hingga 1990-an.
Stanley Fung meraih pengiktirafan meluas melalui watak komedi ikonik seperti “Rhino Skin” dalam siri Lucky Stars serta “Lau Ting-kin” dalam filem The Romancing Star.
Sumber: Mothership