Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JIM Nafi Keluarkan Kenyataan Pemegang Kad UNHCR Bukan PATI

UNHCR
Kredit: Bernama

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Faktanya, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Zakaria berkata, pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.

“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Pengurusan Pelarian

Dalam pada itu, beliau berkata pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka.

Ia turut diselaraskan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zakaria, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian serta pemohon suaka yang berada di negara ini menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka.

“JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar Kerajaan yang ditetapkan,” katanya.

Intipati
  • Pemegang kad UNHCR masih tertakluk kepada peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
  • Pengecualian hanya melibatkan kesalahan tiada dokumen perjalanan atau pas sah dan tinggal lebih masa.
  • JIM berkata dasar pengurusan pelarian diselaraskan melalui MKN dan Jawatankuasa Kabinet berkaitan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan