Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelik Tapi Ramai Kena, Ini Punca Rasa Nak Berak Bila Tengah "Shopping"
Siapa yang tidak seronok apabila dapat membeli-belah, bukan? Walaupun aktiviti ini 'berisiko' kepada 'kesihatan' dompet kita, ia diakui boleh menghilangkan tekanan.
Namun begitu, keseronokan semasa sedang memilih barangan di dalam kedai kadang kala akan terbantut apabila perut 'meragam' bagaikan tiada hari esok.
Ketika itu, hanya tandas yang terbayang di depan mata dan segala barangan yang ingin dibeli sudah dilupakan.
Lebih memalukan apabila ada yang akan membuang angin di sudut-sudut tertentu di dalam kedai.
Anehnya, bukan anda seorang yang mengalami hal tersebut. Ia merupakan salah satu pengalaman kolektif yang dilalui oleh manusia di seluruh dunia.
Walaupun tiada jawapan yang pasti, tetapi ada beberapa teori yang mungkin boleh dikaitkan dengan keadaan ini.
Seorang doktor dari Australia, Dr. Zac Turner menerangkan bahawa ia mungkin berkait dengan sistem saraf enterik (ENS), yang sering dipanggil sebagai 'otak kedua'.
Sistem itu mengawal proses pencernaan dan sentiasa 'berbual' dengan otak melalui saraf vagus.

'Usikan' usus-otak ini boleh membawa kepada hasil yang mengejutkan, termasuk pergerakan usus secara tiba-tiba, yang dicetuskan oleh isyarat deria atau psikologi.
"Bau-bau di kedai boleh merangsang saraf vagus, melancarkan pencernaan dan mewujudkan rasa terdesak yang terlalu luar biasa," katanya.
Selain itu, aktiviti fizikal juga boleh merangsang usus anda. Tentunya, terdapat banyak pergerakan fizikal yang dilakukan di kedai sehingga boleh menyebabkan keinginan untuk membuang air besar sangat kuat.
Wujud juga andaian bahawa kita semua merasakan keperluan untuk pergi ke tandas apabila berhadapan dengan terlalu banyak maklumat. Kadang kala ada momen di mana kita merasa cemas di dalam kedai akibat beban deria yang berlebihan.
Setelah diselidiki lebih lanjut, rasa ingin membuang air besar itu sebenarnya mempunyai namanya yang tersendiri iaitu fenomena Mariko Aoki.
Nama itu dicipta sempena seorang penulis Jepun yang dikenali sebagai Aoki.
Pada tahun 1985, dia telah menulis satu esei di dalam majalah Hon no Zasshi yang menggambarkan pengalamannya berjalan-jalan di sekitar kedai buku dengan perasaan ingin membuang air besar yang sangat nyata.

Rupa-rupanya, bukan dia seorang yang merasainya. Pembaca lain kemudian menulis di majalah itu dengan cerita yang serupa.
Sejak itu, ia dikenali sebagai fenomena Mariko Aoki.
Menurut Science Times, sekurang-kurangnya seorang daripada 10 orang Jepun telah mengalami fenomena Mariko Aoki.
Dari situ, timbul teori-teori seperti yang dijelaskan oleh Dr.Zac.
Kesimpulannya, fenomena ini mungkin kedengaran pelik, namun berdasarkan teori tersebut, ia sebenarnya berkait rapat dengan cara tubuh manusia bertindak balas terhadap persekitaran.
Tiada solusi khusus yang dibincangkan, tetapi SK sarankan agar anda 'membuang' di rumah terlebih dahulu sebelum pergi ke kedai. Mungkin dengan cara ini, kebarangkalian untuk perut memulas ketika membeli-belah dapat dikurangkan.