Setiap orang mungkin pernah melakukan kesilapan, tetapi kesilapan tidak semestinya bermakna peluang untuk berubah sudah tertutup. Begitu juga bagi mereka yang pernah melakukan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara. Disebalik tempoh hukuman yang perlu dilalui, masih ada ruang untuk mereka mendapatkan peluang kedua.
Mungkin, tak ramai sedar disebalik tirai besi di penjara, ada cita-cita atau impian yang ingin dikejar oleh prospek-prospek penjara. Ada dalam kalangan mereka yang menunggu untuk dibebaskan dan mulakan hidup baru. Namun, pelbagai stigma dan pandangan yang lebih berunsurkan negatif terhadap mereka, terutamanya dalam bidang kerjaya.
Sebaliknya, menerusi program MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Jabatan Penjara, syarikat atau bakal majikan sendiri telah hadir ke Penjara Kajang untuk bertemu dan menemuduga prospek yang berminat dengan kekosongan ditawarkan.
Bagi sesetengah prospek, peluang itu mungkin kelihatan seperti satu temu duga biasa.
Namun, hakikatnya ia membawa makna lebih besar dengan satu langkah awal untuk kembali kepada masyarakat, mencari rezeki dan membina kehidupan baharu.

Antara yang mengambil peluang itu ialah seorang prospek Penjara Kajang yang mahu dikenali sebagai Ahmad, dalam lingkungan 50-an, yang mempunyai pengalaman dalam bidang kimpalan, elektrik dan kerja buruh.
Menurut Ahmad, pengalaman lampau tidak mahu dijadikan penghalang untuknya kembali bekerja, sebaliknya kemahiran yang dimiliki mahu dimanfaatkan bagi mencari peluang baharu selepas dibebaskan.
“Saya pernah bekerja dalam bidang kimpalan, elektrik dan buruh. Saya tersilap langkah dan kini mahu tebus kesilapan itu dengan meneruskan kehidupan serta mencari peluang kedua.
“Saya cuba nasib untuk memohon apa sahaja pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan peluang yang diberikan,” katanya ketika ditemui Siakap Keli pada program MYFutureJobs di Penjara Kajang, semalam.
Nak Dekat Dengan Keluarga, Tak Mahu Ulang Hidup Lama
Bagi Ahmad, lokasi pekerjaan juga menjadi antara pertimbangan penting.
Katanya, kebanyakan kekosongan yang ditawarkan berhampiran kawasan tempat tinggalnya memberi satu lagi sebab untuknya berusaha mendapatkan pekerjaan selepas bebas kelak.
“Saya mahu pekerjaan yang dekat dengan keluarga. Saya tidak mahu kembali kepada kehidupan lama.
“Saya mahu perbaiki kehidupan dan mulakan hidup baharu selepas sekian lama berada di sebalik tirai besi,” katanya.
Bukan sekadar mencari pekerjaan, Ahmad berkata peluang berkenaan turut memberi gambaran kepadanya mengenai kehidupan yang bakal ditempuh sebaik sahaja melangkah keluar dari penjara.
Menurutnya, antara cabaran yang mungkin dihadapi prospek selepas dibebaskan ialah ketiadaan wang, pengangkutan dan pengetahuan mengenai langkah pertama yang perlu diambil untuk mendapatkan pekerjaan.
“Sebenarnya agak sukar untuk bekas prospek mencari pekerjaan selepas keluar penjara kerana mungkin tiada wang, pengangkutan dan tidak tahu hendak bermula dari mana.
“Sebab itu program seperti MYFutureJobs ini sangat membantu apabila majikan sendiri datang dan menjalankan temu duga. Ada juga pekerjaan yang menyediakan kemudahan seperti makanan, penginapan atau elaun, bergantung kepada tawaran pekerjaan,” katanya.
Pada program berkenaan, Ahmad mengambil peluang menghadiri temu duga dengan beberapa majikan yang menawarkan kekosongan pekerjaan, sekali gus memberi ruang kepadanya untuk melihat pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran dimiliki.
Majikan Pun Sanggup Datang Cari Prospek

Menariknya, peluang kedua itu bukan datang daripada prospek semata-mata.
Sebaliknya, terdapat majikan yang bersedia membuka kekosongan dan turun sendiri bertemu calon di dalam penjara.
Pengarah Urusan sebuah syarikat pembersihan, Benny Chai, berkata penyertaan pihaknya dalam program MYFutureJobs bersama PERKESO di Penjara Kajang merupakan kali kedua selepas sebelum ini menyertai program sama di Penjara Marang.
Menurutnya, syarikat membuka beberapa kekosongan pekerjaan dan proses pemilihan tetap dibuat menerusi sesi temu duga bagi mengenal pasti calon yang benar-benar sesuai.
“Kita buka beberapa peluang kerja dan sepanjang sesi temu duga, kita lihat ada dalam kalangan prospek yang memang mempunyai kemahiran.
“Jadi, kita temuduga mereka dan mencari calon yang benar-benar sesuai dengan keperluan pekerjaan,” katanya.
Bukan Kerana Simpati Semata-mata
Apa yang menarik, keputusan majikan untuk membuka peluang kepada prospek bukan sekadar atas dasar simpati.
Sebaliknya, kemahiran dan kesesuaian calon dengan pekerjaan turut menjadi pertimbangan.
Benny berkata, pihaknya mahu memberi ruang kepada prospek untuk memperoleh pekerjaan dan membina kehidupan baharu selepas dibebaskan.
Pada masa sama, katanya, usaha itu turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terhadap masyarakat.
“Hasrat kami adalah untuk memberi peluang kepada prospek mendapatkan pekerjaan dan memulakan hidup baharu selepas keluar penjara.
“Ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat kami kepada masyarakat,” katanya.

Majikan Dapat Pekerja, Prospek Dapat Peluang
Bagi Benny, usaha membuka peluang kepada prospek turut mempunyai manfaat lebih besar apabila syarikat dapat menggunakan tenaga kerja tempatan dan pada masa sama membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Kita mahu kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan gunakan tenaga kerja yang ada dalam negara, termasuk prospek di dalam penjara.
“Syarikat kami berani mengambil langkah ini untuk membantu golongan yang lebih memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan home-to-home yang ditawarkan syarikat juga dilihat bersesuaian dengan pengalaman serta kemahiran yang boleh diperoleh prospek ketika berada dalam penjara.
Peluang Kedua Itu Bermula Sebelum Pintu Penjara Dibuka
Bagi orang luar, program temuduga di dalam penjara mungkin sekadar satu lagi program mencari pekerja.
Tetapi bagi prospek seperti Ahmad, ia boleh menjadi persediaan untuk kehidupan yang menanti selepas pintu penjara dibuka.
Mereka mungkin belum mempunyai pekerjaan pada hari temu duga itu.
Namun sekurang-kurangnya, mereka sudah mempunyai sesuatu yang penting iaitu pilihan, pengalaman ditemu duga dan peluang untuk membuktikan bahawa mereka masih mempunyai kemahiran yang boleh disumbangkan kepada masyarakat.
Dan mungkin itulah perkara yang tidak diketahui umum.
Peluang kedua tidak semestinya bermula selepas seseorang bebas. Kadangkala, ia bermula ketika mereka masih berada di sebalik sel penjara.

