Tanggal 20 Oktober hadir setiap tahun. Bagi masyarakat umum, tarikh ini mungkin tidak membawa sebarang pengertian khusus. Namun, bagi pengamal statistik dan mereka yang memahami kepentingannya, tarikh ini mempunyai makna tersendiri kerana diraikan sebagai Hari Statistik Negara (HSN). Sambutan ini bukan sekadar menghargai peranan statistik, malah menjadi ruang untuk mendekatkan statistik kepada masyarakat dan memperlihatkan kepentingannya dalam kehidupan seharian serta pembangunan negara.
Mengimbas kembali, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 20 Oktober 2010 sebagai Hari Statistik Sedunia bagi mengiktiraf kepentingan statistik rasmi dalam pembangunan global. Sambutan ini kemudiannya diteruskan setiap lima tahun, dengan sambutan keempat berlangsung pada 2025.
Di Malaysia, Kerajaan telah menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara pada tahun 2017. HSN 2026 terus mengangkat tema “Statistik Nadi Kehidupan”, yang juga merupakan moto Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Meskipun teknologi, sumber data dan kaedah penghasilan statistik semakin berkembang, tema ini kekal relevan kerana statistik terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami kehidupan dan merancang masa hadapan.
Bersempena HSN 2026, DOSM menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pengamal statistik dan masyarakat umum. Antaranya ialah Pertandingan Pengucapan Awam, Pertandingan Debat Statistik antara Institusi Pengajian Tinggi, DOSM Datathon serta pertandingan infografik dan poster saintifik.
Melalui program ini, generasi muda berpeluang mengasah kreativiti, meneroka data dan mengemukakan hujah berdasarkan fakta. Statistik tidak seharusnya dilihat sebagai mata pelajaran yang hanya berkisar tentang angka dan formula, tetapi sebagai ilmu yang membantu kita memahami pelbagai persoalan dalam kehidupan.
Apakah sebenarnya kepentingan statistik kepada kita? Hakikatnya, statistik membantu kita membuat pelbagai keputusan harian, sama ada disedari ataupun tidak. Daripada merancang perbelanjaan keluarga hingga menilai peluang pekerjaan dan perniagaan, statistik menyediakan maklumat untuk membuat pertimbangan yang lebih baik.
Sebagai contoh, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan oleh DOSM membantu masyarakat memahami perubahan harga barangan dan perkhidmatan serta merancang perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.
Dari sudut masyarakat pula, statistik membantu kita memahami keadaan sesuatu kawasan, termasuk jumlah penduduk, pendapatan isi rumah, kemiskinan dan kemudahan asas. Bayangkan sebuah kawasan yang mengalami pertambahan penduduk dengan pesat. Adakah sekolah sedia ada masih mencukupi? Perlukah sebuah lagi klinik dibina? Bagaimana pula dengan kemudahan pengangkutan?
Persoalan sebegini memerlukan maklumat statistik yang tepat supaya pembangunan dapat dirancang berdasarkan keperluan masyarakat, bukan sekadar andaian.
Di peringkat antarabangsa, statistik turut menjadi asas dalam memantau pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang membawa aspirasi agar tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan.
Maklumat tentang penduduk, ekonomi dan keadaan sosial membantu mengenal pasti kumpulan yang masih memerlukan perhatian serta mengukur kemajuan pembangunan dari semasa ke semasa. Statistik tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan sendirinya, tetapi tanpa maklumat yang tepat, usaha mencari penyelesaian pasti menjadi lebih sukar.
Perkara yang tidak kurang penting ialah statistik yang digunakan oleh masyarakat mestilah boleh dipercayai. Penghasilan statistik rasmi memerlukan kerangka perundangan yang jelas, kaedah yang teratur dan amalan profesional bagi memastikan maklumat yang diterbitkan berkualiti serta diyakini oleh pelbagai pihak.
Kelulusan Rang Undang-Undang Statistik 2026 di Parlimen merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh Sistem Statistik Negara (SSN) di Malaysia.
Pembaharuan ini bertujuan memperkukuh penyelarasan statistik rasmi dan kerjasama antara agensi, di samping memperluas penggunaan sumber data untuk keperluan statistik negara. Aspek kerahsiaan dan perlindungan maklumat juga terus diberi penekanan agar kepercayaan masyarakat terhadap statistik rasmi sentiasa terpelihara.
Dalam SSN, DOSM berperanan sebagai institusi statistik kebangsaan yang menerajui pembangunan dan penyelarasan statistik rasmi. Namun, penghasilan statistik negara bukanlah usaha DOSM semata-mata. Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan turut memiliki pelbagai maklumat melalui pelaksanaan tugas masing-masing.
Bayangkan betapa banyaknya maklumat mengenai pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang tersedia di pelbagai agensi. Melalui kerjasama yang lebih erat, maklumat tersebut berpotensi dimanfaatkan untuk memberikan gambaran yang lebih lengkap tentang keadaan negara dan membantu memenuhi keperluan statistik yang semakin berkembang.
Statistik rasmi negara juga tidak mungkin dapat dihasilkan tanpa kerjasama masyarakat dan komuniti perniagaan sebagai penyumbang maklumat. Banci Ekonomi 2026 yang sedang dilaksanakan sejak April tahun ini mengumpulkan maklumat mengenai kegiatan dan prestasi pertubuhan perniagaan bagi tahun rujukan 2025.
Hasil banci ini dijangka memperkukuh statistik ekonomi negara, termasuk maklumat mengenai perkembangan industri dan kegiatan perniagaan di peringkat daerah.
Usaha ini akan diteruskan melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) pada tahun 2027 bagi memperoleh maklumat tentang taraf hidup dan keadaan sosioekonomi isi rumah.
Seterusnya, persediaan sedang giat dilaksanakan ke arah Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2030 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah, taburan dan ciri-ciri penduduk negara. Setiap maklumat yang diberikan oleh responden amat bermakna dalam membantu negara merancang pembangunan, dan kerahsiaannya sentiasa perlu dipelihara.
Sudah tentu, statistik yang berkualiti tidak terhasil hanya dengan menggabungkan angka daripada pelbagai sumber. Setiap data yang diperoleh perlu diteliti dan disusun berpandukan konsep, definisi dan kaedah yang bersesuaian.
Sebagai contoh, pengiraan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menggunakan kerangka System of National Accounts (SNA), manakala pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan mengambil kira saranan PBB melalui Principles and Recommendations for Population and Housing Censuses.
Penggunaan piawaian antarabangsa dapat memastikan statistik yang dihasilkan boleh dibandingkan antara tempoh dan antara negara dengan lebih bermakna.
Perkembangan teknologi turut membuka peluang baharu dalam penghasilan statistik. Selain banci dan survei, data pentadbiran serta sumber data baharu berpotensi melengkapi maklumat yang tersedia, sekali gus mengurangkan keperluan mendapatkan maklumat yang sama berulang kali daripada masyarakat dan perniagaan.
Penggunaan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data pula dapat membantu mempercepat pemprosesan serta memperluas keupayaan analisis. Namun, secanggih mana sekalipun teknologi yang digunakan, kepakaran statistik dan pertimbangan profesional tetap diperlukan bagi memastikan hasil yang diperoleh berkualiti dan boleh dipercayai.
Krisis tenaga global pada tahun ini memperlihatkan bagaimana pergolakan di satu kawasan boleh memberi kesan kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia. Gangguan bekalan minyak dan laluan perdagangan antarabangsa bukan sahaja mempengaruhi harga tenaga, malah boleh menjejaskan kos pengangkutan, harga barangan dan kehidupan seharian masyarakat.
Dalam keadaan ini, statistik memainkan peranan penting untuk memahami perubahan ekonomi serta menilai kesannya terhadap rakyat. Kepentingan yang sama turut kita saksikan ketika pandemik COVID-19, apabila negara memerlukan maklumat bukan sahaja mengenai kesihatan awam, tetapi juga pekerjaan, pendapatan isi rumah dan kegiatan ekonomi. Kedua-dua pengalaman ini menunjukkan betapa pentingnya statistik dalam membantu negara memahami cabaran dan merancang tindakan yang bersesuaian.
Manfaat statistik tidak terhad kepada Kerajaan. Pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat boleh menggunakan statistik untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan serta merancang program yang bersesuaian. Bagi sektor perniagaan, statistik membantu memahami perubahan pasaran, permintaan pengguna dan peluang pelaburan.
Maklumat yang sama juga boleh digunakan dalam merancang program tanggungjawab sosial korporat supaya bantuan yang disalurkan lebih menepati keperluan masyarakat.
Penggunaan statistik dalam kalangan masyarakat juga semakin meluas. Angka statistik sering digunakan dalam laporan media, ucapan dan perbincangan awam bagi menyokong sesuatu pandangan. Namun, adakah penggunaan angka semata-mata bermakna seseorang benar-benar memahami statistik? Tidak semestinya.
Kita perlu mengetahui sumber sesuatu angka, perkara yang diukur, tempoh rujukan dan kesesuaian perbandingan yang dibuat. Sebagai contoh, kadar inflasi negara menggambarkan perubahan harga secara purata, sedangkan pengalaman setiap isi rumah mungkin berbeza mengikut lokasi dan corak perbelanjaan. Inilah kepentingan literasi statistik, iaitu kebolehan memahami makna di sebalik angka, menilai maklumat secara kritis dan menggunakannya dengan bertanggungjawab.
Perkembangan bidang statistik juga membuka peluang kerjaya yang semakin luas, khususnya kepada generasi muda. Jika dahulu bidang ini sering dikaitkan dengan pengumpulan data dan penyediaan jadual, kini statistik turut merangkumi sains data, pemodelan, visualisasi, analitik lanjutan dan kecerdasan buatan.
Kemahiran tersebut diperlukan dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, kesihatan, pendidikan dan perniagaan. Golongan muda wajar merebut peluang ini kerana penguasaan statistik bukan sahaja membuka laluan kerjaya, tetapi juga membina kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.
Akhirnya, usaha merakyatkan statistik memerlukan kerjasama semua pihak. DOSM akan terus memperkukuh penghasilan dan penyampaian statistik rasmi yang berkualiti serta kerjasama dalam SSN, sementara masyarakat memainkan peranan penting sebagai penyumbang dan pengguna statistik.
Sempena Hari Statistik Negara 2026, marilah kita bersama-sama membudayakan penggunaan statistik dalam kehidupan seharian. Statistik bukan sekadar himpunan angka, tetapi gambaran kehidupan kita hari ini dan panduan untuk merancang masa hadapan yang lebih baik.
