Pelukis Komik Tok Ketua Meninggal Dunia
Dunia seni komik tempatan kehilangan seorang tokoh berbakat apabila pelukis komik terkenal, Norazali Razali, yang dikenali menerusi karya popular Komik Tok Ketua, meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Pengasas Mangosteeen Books, Hanafi Munshi, menerusi satu hantaran di Facebook.
"Dukacita dimaklumkan bahawa pelukis Komik Tok Ketua, komik pertama terbitan Mangosteeen Books, telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.20 pagi, Jumaat, 23 Januari 2026, di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
"Marilah kita sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham Norazali Razali.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beramal soleh.
"Al-Fatihah," tulisnya.
Rakan seperjuangan sejak awal
Dalam hantaran sama, Hanafi menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat rapat dan rakan seperjuangan sejak awal penubuhan Mangosteeen Books.
Beliau turut menceritakan pertemuan terakhir mereka selepas menerima khabar bahawa Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kampar akibat serangan jantung.
"Rabu minggu sudah, selepas menerima berita daripada Niena tentang saudara Azli dimasukkan ke Hospital Kampar akibat serangan jantung saya terus bergegas ke sana.
"Lebih kurang 15 minit kami sempat berbual dengan gelak tawa. Saudara Azli cerita tentang perjalanan karier melukis komiknya di Perak. Ada dapat job besar daripada agensi kerajaan. Ada dapat jemputan mengajar melukis," kongsinya.
Namun, Hanafi menerima berita mengejutkan keesokan paginya bahawa sahabatnya itu telah meninggal dunia.
Jasa besar pelukis Tok Ketua dalam dunia penerbitan komik
Hanafi turut mengimbau jasa besar Allahyarham yang menjadi antara individu terawal menyokong usahanya mengasaskan Mangosteeen Books.
Karya Komik Tok Ketua hasil sentuhan Norazali Razali juga menjadi terbitan pertama syarikat tersebut, sekali gus mencipta sejarah penting dalam perjalanan Mangosteeen Books.
"Besar jasanya kepada saya dan juga Mangosteeen," luah Hanafi.
Pemergian Norazali Razali pastinya satu kehilangan besar buat industri seni komik tempatan, khususnya dalam kalangan rakan-rakan seni dan peminat karya Tok Ketua.
Al-Fatihah.