Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemaju Tarik Balik Permohonan Bina Pusat Data Di Kota Damansara Susulan Bantahan Penduduk

damansara
Kredit: Bernama

Syarikat pemaju dilaporkan menarik balik permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembangunan sebuah pusat data di Kota Damansara susulan bantahan yang disuarakan penduduk terhadap projek berkenaan.

Menyambut baik perkembangan itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penarikan balik permohonan tersebut membuktikan suara rakyat mampu membawa kepada tindakan apabila kebimbangan berasas disuarakan kepada pihak berkuasa.

“Saya menyambut baik perkembangan ini. Ini membuktikan bahawa apabila rakyat menyuarakan kebimbangan yang berasas dan kita sebagai wakil rakyat membawa suara tersebut kepada pihak berkuasa, pandangan rakyat boleh menghasilkan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia mengesahkan menerima makluman berhubung perkara itu daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Menurutnya, pendirian beliau menolak cadangan pembangunan berkenaan sejak 17 Julai lalu bukan kerana menentang pembangunan atau pelaburan.

Sebaliknya, ujarnya, proses cadangan pembangunan itu tidak melibatkan sesi libat urus secara menyeluruh, khususnya bersama penduduk setempat.

Jelasnya, setiap pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada kehidupan penduduk perlu dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Kredit: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

“Rakyat berhak didengar sebelum keputusan yang memberi kesan kepada kawasan tempat tinggal mereka dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, beliau turut mengambil maklum penjelasan pihak perunding bahawa penarikan balik permohonan berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pemaju menilai semula kebolehlaksanaan tapak serta komponen pembangunan.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan cadangan pembangunan berkenaan lebih ekonomik, mampan dan bersesuaian dengan pembangunan di kawasan sekitar.

Beliau berkata, pendiriannya kekal bahawa sebarang cadangan pembangunan di Sungai Buloh perlu melalui proses libat urus bersama penduduk serta semua pemegang taruh terlebih dahulu.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan perkara ini dan memastikan kepentingan serta suara rakyat Kota Damansara terus dipertahankan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Ramanan berkata cadangan pembangunan pusat data di kawasan perumahan Kota Damansara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri susulan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk setempat.

Intipati
  • Syarikat pemaju dilaporkan menarik balik permohonan pusat data di Kota Damansara susulan bantahan penduduk.
  • Ramanan berkata keputusan itu menunjukkan suara rakyat boleh menghasilkan tindakan melalui pihak berkuasa.
  • Beliau menegaskan pembangunan berskala besar perlu melalui libat urus penduduk dan pemegang taruh.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan