Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemandu Proton Saga Mengamuk Tengah Jalan, Didakwa Serang Pemandu Myvi

PROTON
Tangkap layar video Instagram

Pemandu Proton Saga Mengamuk Tengah Jalan, Didakwa Serang Pemandu Myvi

Tindakan seorang pemandu Proton Saga yang dipercayai hilang sabar sehingga bertindak agresif terhadap seorang pemandu Perodua Myvi di tengah jalan menjadi perhatian selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Video berdurasi kira-kira 15 saat yang dimuat naik menerusi akaun Instagram @Choong8898 memaparkan situasi tegang dipercayai berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Menerusi rakaman tersebut, seorang lelaki berbaju putih yang dipercayai memandu Proton Saga merah dilihat keluar dari kenderaannya sebelum menuju ke arah sebuah Perodua Myvi berwarna biru yang berhenti di sebelah kanan.

Lelaki itu kemudian dilihat menumbuk bahagian hadapan kereta berkenaan beberapa kali sebelum membuka pintu kenderaan tersebut dan menyerang pemandunya.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.

Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal apabila seorang wanita yang dipercayai isteri kepada pemandu Proton Saga keluar dari kenderaan sambil mendukung seorang bayi kecil dan cuba menenangkan lelaki terbabit.

Beberapa pengguna jalan raya lain yang berada di lokasi hanya menyaksikan insiden tersebut dari dalam kenderaan masing-masing.

Rakaman sama turut menunjukkan beberapa barangan dipercayai milik pemandu Myvi bertaburan di atas jalan.

Namun sebelum video berakhir, pemandu Proton Saga dilihat mengutip semula barangan itu dan menyerahkannya kepada pemandu berkenaan.

Sementara itu, di ruangan komen hantaran tersebut, seorang individu yang mendakwa dirinya pemandu Proton Saga tampil memberi penjelasan berhubung kejadian.

Menurutnya, dia hilang kawalan selepas mendakwa pemandu Myvi memotong secara berbahaya dan masuk terlalu rapat ke hadapan kenderaannya ketika berada di lorong kanan.

Dakwanya, tindakan itu membahayakan dirinya, isteri serta bayi yang dibawa bersama ketika kejadian.

Setakat ini, lokasi sebenar kejadian serta sama ada laporan polis telah dibuat masih belum dapat dipastikan.

Sumber:choong8898