Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemansuhan AUKU Perlu Seiring Reformasi Tadbir Urus Universiti - Nurulhidayah

AUKU
Kredit: Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu disusuli kerangka perundangan dan tadbir urus baharu yang mampu mengimbangi kebebasan mahasiswa, autonomi institusi serta akauntabiliti universiti.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, agenda pemansuhan AUKU wajar dibawa ke sesi libat urus atau townhall bersama semua universiti bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pihak berkepentingan.

Katanya, perbahasan mengenai AUKU tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan sama ada mahasiswa perlu dikawal atau dibebaskan, sebaliknya perlu melihat keseluruhan ekosistem tadbir urus institusi pendidikan tinggi.

“Saya pernah menjadi antara mahasiswa yang turun ke jalanan untuk berdemo menuntut pemansuhan AUKU dan selepas 27 tahun, agenda itu akhirnya berjaya.

“Namun, setelah melalui beberapa fasa kehidupan, saya melihat AUKU bukan semata-mata mengenai mahasiswa dan politik kampus, tetapi turut berkait dengan struktur pentadbiran, kuasa dan tanggungjawab pihak berkuasa universiti serta keseluruhan ekosistem tadbir urus institusi pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhidayah, persoalan lebih besar selepas pemansuhan AUKU ialah bentuk kerangka perundangan dan tadbir urus yang akan menggantikannya.

Jelasnya, pemansuhan sesuatu akta tidak seharusnya mewujudkan vakum tadbir urus atau ketidakjelasan dari segi kuasa, tanggungjawab dan akauntabiliti.

Dalam pada itu, beliau berkata, mahasiswa perlu diberikan ruang lebih luas untuk bersuara, berpersatuan, berdebat, mengurus organisasi serta mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan politik secara matang.

“Universiti bukan sekolah. Mahasiswa merupakan golongan dewasa yang sedang dipersiapkan menjadi pemimpin, profesional, pembuat dasar dan anggota masyarakat.

“Jika kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai keberanian membuat keputusan, kita juga perlu memberikan mereka ruang untuk belajar mengurus kebebasan tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kebebasan perlu hadir bersama tanggungjawab termasuk menghormati undang-undang, keselamatan warga kampus, integriti akademik serta hak orang lain untuk mempunyai pandangan berbeza.

Nurulhidayah berkata, universiti perlu menjadi ruang yang membolehkan mahasiswa berfikir secara kritikal, berhujah berdasarkan fakta dan berbeza pandangan secara beradab.

Pada masa sama, beliau menegaskan perbahasan mengenai reformasi AUKU juga perlu merangkumi aspek kebebasan akademik.

“Pensyarah dan penyelidik perlu mempunyai ruang untuk menghasilkan ilmu dan menyampaikan pandangan ilmiah, termasuk pandangan yang mungkin kritikal terhadap institusi, kerajaan atau masyarakat, selagi dilakukan secara profesional, beretika dan berasaskan disiplin ilmu.

“Kita tidak boleh bercakap tentang universiti bertaraf dunia jika pada masa sama budaya intelektual takut kepada perbezaan pandangan,” katanya.

Mengulas mengenai autonomi universiti, Nurulhidayah berkata, institusi pendidikan tinggi perlu diberikan ruang lebih besar untuk menentukan hala tuju akademik, penyelidikan, pembangunan bakat, kewangan, kerjasama industri, pengantarabangsaan serta strategi masing-masing.

Namun, jelasnya, autonomi tidak bermakna universiti boleh beroperasi tanpa semak dan imbang.

“Universiti mengurus dana awam, aset, penyelidikan, kakitangan, mahasiswa serta kepentingan strategik negara. Oleh itu, semakin besar autonomi yang diberikan, semakin tinggi juga tahap integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang perlu dituntut,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa mahasiswa perlu dibenarkan berpolitik, namun pada masa sama universiti tidak seharusnya dipolitikkan.

Katanya, mahasiswa mempunyai hak untuk mempunyai pendirian politik, membincangkan dasar kerajaan serta menyokong atau mengkritik sesuatu pandangan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan pembentukan pemikiran.

“Budaya yang perlu kita bina ialah budaya berbeza tanpa bermusuh, berdebat tanpa menghina dan mengkritik tanpa menutup ruang orang lain untuk bersuara,” ujarnya.

Dalam aspek tadbir urus pula, Nurulhidayah berkata, peranan Lembaga Pengarah Universiti perlu diperkukuh seiring dengan peningkatan autonomi institusi.

Menurutnya, Lembaga perlu berfungsi sebagai penjaga tadbir urus, integriti dan hala tuju strategik universiti, termasuk memastikan semak dan imbang antara Lembaga, Senat serta pengurusan universiti.

“Ini termasuk memastikan keputusan strategik dibuat berdasarkan kepentingan institusi, pengurusan kewangan yang bertanggungjawab dan pada masa sama mempertahankan kebebasan akademik serta kepentingan mahasiswa,” katanya.

Nurulhidayah berkata, beliau tidak melihat keperluan mempertahankan AUKU semata-mata kerana akta itu telah lama wujud, sebaliknya undang-undang perlu berkembang mengikut perubahan zaman.

Katanya, sekiranya terdapat peruntukan yang tidak lagi relevan, ia perlu direformasikan manakala sekatan yang tidak lagi sesuai dengan kematangan mahasiswa dan perkembangan pendidikan tinggi perlu diperbaiki.

“Dan sekiranya akhirnya AUKU perlu digantikan sepenuhnya, maka gantikanlah dengan kerangka yang lebih moden dan lebih sesuai dengan masa hadapan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, reformasi berkenaan perlu menjawab persoalan lebih besar mengenai bentuk universiti Malaysia yang mahu dibina untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Ukuran kejayaan bukan sama ada kita berjaya memansuhkan sebuah akta, tetapi ukuran sebenar ialah sama ada selepas reformasi tersebut, universiti akan menjadi lebih bebas berfikir, lebih berani menghasilkan ilmu, lebih pantas membuat keputusan, lebih autonomi menentukan masa hadapannya dan pada masa sama lebih telus, berintegriti serta bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Nurulhidayah menegaskan, pendiriannya bukan sekadar soal memansuh atau mengekalkan AUKU, sebaliknya menjurus kepada reformasi institusi bagi membentuk sistem pendidikan tinggi yang lebih bebas, autonomi, berintegriti dan bertanggungjawab.

Intipati
  • Nurulhidayah berkata pemansuhan AUKU perlu disertai kerangka tadbir urus baharu yang jelas.
  • Beliau mencadangkan sesi libat urus bersama universiti bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
  • Reformasi AUKU menurutnya perlu merangkumi kebebasan akademik, autonomi universiti dan akauntabiliti institusi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan