SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) -- Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 Sept diwartakan hari ini.
Warta itu dikeluarkan atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Exco tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Menurut warta itu, kesemua mereka telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.
“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, beta dengan ini menarik balik perkenan beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” titah baginda.
Pembatalan pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta pada 20 Sept dengan titah perintah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Warta itu juga memaklumkan berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz.

