Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita semua akan berdepan dengan penamat yang pasti iaitu kematian.
Tidak cepat atau lambat sesaat, kematian akan tiba juga bila tiba masanya.
Semalam, seorang pramugara Malaysia Airlines, Hafeez Al-Bukhary, dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir akibat kanser usus.
Walaupun mungkin ramai di antara kita yang tidak mengenali arwah secara langsung, namun pemergiannya membuatkan ramai berasa sayu.
Amal by Malaysia Airlines berkongsi bahawa arwah merupakan seorang kru kabin yang berdedikasi dalam operasi penerbangan haji dan umrah Amal sejak 2018.
Arwah turut menyumbang tenaga dan komitmen dalam pelbagai usaha pemasaran serta komunikasi jenama Amal.

Malah, wajah arwah juga sering menghiasi bahan-bahan promosi Amal dan beliau dikenali ramai dalam kalangan para jemaah atas layanan yang mesra, profesional serta penuh keikhlasan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang berkongsi momen bersama arwah ketika penerbangan ke Tanah Suci.
"Saya pergi haji baru ni satu penerbangan dengan arwah pada 18 Mei. Dialah yang ingatkan kami untuk berniat di Qarnul Manazil. Saya berdoa Allah tempatkan arwah di kalangan mereka yang beriman," kata Azizul My.

Selain itu, salah seorang petugas di agensi umrah, Tuan TJ turut meninggalkan komen.
Menurutnya, walau baru sekali bersua muka dengan arwah, dia memuji layanan yang diberikan dalam penerbangan.
"Sedih walaupun baru sekali bersua. Setiap kali bertugas ke Haramain, saya suka bila dapat naik penerbangan Amal.
"Selalu saya canang dengan semua orang, kru Amal semuanya yang dah berpengalaman.
"Layanan mereka pada jemaah, macam keluarga. Sangat santun. Al-Fatihah buat saudara Hafiz. Walau baru sekali bersua, terbayang saat disapa mesra
"Teruskan menyantuni Duyufurrahman dengan penuh ikhlas dan kasih sayang buat semua kru Amal. Semoga kalian dihimpunkan di syurga Firdaus," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook yang lain, Sharina Abdullah berkata arwah menyantuni para jemaah dan ibunya dengan sangat baik ketika dalam perjalanan balik menunaikan umrah.
"Sempat juga beliau berbual dgn mak saya masa tu. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya.
Malai Faizal Azrul pula berkongsi bahawa Hafeez seorang yang suka senyum.
"Pernah satu penerbangan masa umrah dengan ibu tahun 2022, memang arwah kuat senyum dan melayan penumpang dengan mesra dan baik. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," ujarnya.
Dalam kebanyakan perkongsian di media sosial mengenai arwah, ramai mendoakan yang baik-baik untuk arwah.
Meskipun hanya mengenali menerusi skrin telefon, kebaikan dan sifat yang ditunjukkan oleh arwah dikenang oleh orang ramai.
Semoga kandungannya di media sosial turut menjadi lubuk pahala buatnya. Selamat pulang ke negeri abadi Hafeez Al-Bukhary, Al-fatihah.