Bagi peminat tegar Manchester United, Old Trafford bukan sekadar sebuah stadium, malah menjadi saksi kepada pelbagai detik bersejarah kelab berkenaan selama bertahun-tahun.
Kini, penyokong berpeluang membawa pulang sebahagian daripada sejarah tersebut menerusi Old Trafford Turf Cube, iaitu cebisan rumput rasmi padang Old Trafford yang diawet dan diletakkan di dalam kiub kaca sebagai cenderamata eksklusif.
Produk berukuran 7x7 sentimeter itu dijual menerusi United Store pada harga £135, bersamaan kira-kira RM730, sekali gus menawarkan peluang kepada penyokong untuk memiliki sebahagian kecil daripada padang ikonik tersebut.
Rumput Old Trafford diawet dalam kiub kaca
Menurut Manchester United, padang Old Trafford telah digali sepenuhnya sehingga ke bahagian asas pada Jun lalu, buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun.
Kerja berkenaan dilakukan bagi membolehkan permukaan padang ditanam semula dengan penambahbaikan terhadap aspek kebajikan pemain serta sistem saliran air.
Projek tersebut dikendalikan oleh penjaga padang yang memenangi anugerah, Tony Sinclair, bersama pasukan pakarnya bagi memastikan permukaan baharu dapat tumbuh dengan baik.
Sebahagian daripada rumput padang lama kemudiannya dipelihara dengan teliti sebelum dimasukkan ke dalam kiub kaca untuk dijadikan cenderamata kepada penyokong.

Pernah menjadi saksi pelbagai detik bersejarah
Padang Old Trafford mempunyai nilai sentimental yang besar buat penyokong Manchester United kerana menjadi tempat berlangsungnya pelbagai perlawanan melibatkan pasukan lelaki, wanita serta barisan pemain akademi.
Pelbagai detik turut tercipta di atas padang tersebut, termasuk kemenangan, kekalahan, kejayaan dan kekecewaan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kelab berkenaan.
Kini, cebisan rumput berkenaan boleh dijadikan koleksi dan dipamerkan di meja atau disimpan bersama memorabilia Manchester United yang lain.
Namun, sambutan pantas terhadap cenderamata tersebut menyaksikan stoknya habis terjual kurang daripada sehari, iaitu hanya 16 jam selepas ditawarkan kepada penyokong.

